ARKIB : 06/07/2010
ZAID bin Sabit adalah sahabat
Nabi Muhammad dari golongan Ansar yang berasal dari suku kaum Khazraj. Beliau
dilahirkan di Madinah pada tahun 611 Masihi dan masuk Islam pada tahun pertama
Hijrah.
Pada masa Nabi Muhammad, Zaid
berperanan menulis wahyu yang diturunkan dan menulis surat bagi disampaikan kepada
kaum Yahudi. Semasa mudanya, Zaid sudah mula menghafal surah dan ayat-ayat yang
diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.
Semasa hidupnya, Zaid bin Sabit
juga terkenal sebagai ahli dalam ilmu al-Quran, tafsir, hadis, dan pembahagian
harta pusaka. Oleh yang demikian Zaid diberi gelaran 'ulama masyarakat.'
Zaid adalah seorang anak yatim.
Semasa Zaid bin Sabit berusia enam tahun, bapanya meninggal dunia. Semasa Nabi
Muhammad berpindah ke Madinah, umur Zaid pada ketika itu berusia sebelas tahun.
Usianya yang muda itu
menghalangnya daripada menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Walaupun usianya
terlalu muda, Zaid tetap bersemangat berperang melawan musuh.
Pernah pada suatu hari, Zaid
berjumpa Nabi Muhammad meminta kebenaran menyertai siri peperangan tentera
Islam.
"Wahai Nabi Muhammad, saya
mahu pergi berperang," kata Zaid yang masih kecil itu.
"Kamu masih kecil lagi Zaid.
Apabila kamu sudah dewasa nanti ikutlah kami pergi berperang," kata Nabi
Muhammad kepada Zaid.
Masa berlalu. Zaid semakin meningkat
dewasa. Selepas itu beliau sering menyertai peperangan di antara tentera Islam
dan tentera musuh. Cerita ini dikisahkan semasa Zaid bin Sabit menyertai Perang
Tabuk yang berlaku pada Tahun Masihi 631. Perang Tabuk ini berlaku di antara
tentera Islam dan tentera Rom. Pada peperangan itu tentera Rom kalah dan
berundur. Kejayaan ini menyebabkan ramai kabilah yang tinggal di utara
Semenanjung Tanah Arab membayar cukai kepada kerajaan Islam.
Ketika tentera Islam menuju ke
medan Perang Tabuk, bendera Bani Malik dipegang oleh seorang yang bernama
Amarah.
"Serahkan bendera itu kepada
Zaid bin Sabit," kata Nabi Muhammad selepas terlihat bendera itu dipegang
oleh Amarah.
Amarah menjadi hairan. Beliau
berasa tidak sedap hati.
Beliau bertanya kepada Nabi
Muhammad, "Ada sesuatu yang tidak kena dengan saya? Atau saya melakukan
kesilapan tadi sehingga tuan tidak mengizinkan saya memegang bendera itu."
Nabi Muhammad tersenyum mendengar
soalan itu dan menjawab, "Tidak ada yang tidak kena dengan kamu.
"Sekiranya begitu, mengapa
saya perlu menyerahkan bendera ini kepada Zaid? Saya juga mampu membawa bendera
ini," jawab Amarah pula.
Rupa-rupanya Amarah tidak
memahami maksud Nabi Muhammad.
Kemudian Nabi Muhammad
menghampiri Amarah dan berkata, "Saya mahu Zaid yang memegang bendera itu
kerana Zaid lebih banyak ilmu pengetahuannya mengenai al-Quran berbanding
kamu."
Lalu Amarah menjawab,
"Fahamlah saya sekarang."
Amarah menyerahkan bendera itu
kepada Zaid seperti yang diarahkan oleh Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad bukan pilih kasih.
Beliau berbuat demikian kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sesuatu kelebihan
pada diri mereka. Begitu juga semasa Perang Uhud, Nabi Muhammad mengebumikan
mayat tentera Islam yang gugur mengikut tahap ilmu pengetahuan yang mereka
miliki di dalam satu liang lahad.
Selepas Nabi Muhammad meninggal
dunia, Zaid memegang peranan penting dalam urusan pemerintahan di Madinah.
Semasa zaman pemerintahan Umar al-Khattab dan Usman bin Affan, Zaid adalah
sahabat yang dipercayai dapat memberikan fatwa.
Zaid bertanggungjawab memegang
jawatan mufti pada ketika itu di Madinah. Fatwa Zaid yang terkenal adalah dalam
bidang pembahagian harta pusaka.
Semasa Nabi Muhammad masih hidup,
beliau pernah berkata, "Orang yang paling pakar dalam bidang faraid di
antara kalian ialah Zaid bin Sabit."
Jelas di sini menunjukkan bahawa
Zaid bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad yang banyak berjasa menegakkan
agama Islam.
Kisah ini menunjukkan kepada kita
bahawa sekiranya seseorang individu itu mempunyai ilmu yang tinggi dan
kelebihan pada diri mereka, maka orang itu disanjungi dan dihormati. Islam juga
memandang mulia kepada manusia yang mempunyai ilmu dan mengamalkan ilmunya itu
ke jalan yang diredai Allah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5aVvmVYKd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment