ARKIB : 23/02/2010
Kabsyah binti Rafi' bin Ubaid
al-Anshariyah adalah isteri kepada Muaz bin an-Nukman al-Asyhali. Mereka
dikurniakan dengan enam orang anak iaitu Saad, Amru, Iyas, Aus, Aqrab dan Ummu
Haram.
Kabsyah atau dipanggil dengan
nama Ummu Saad pandai mendidik anak. Anaknya yang bernama Muaz dan Amru adalah
pahlawan yang terkenal dalam sejarah Islam. Anaknya handal dan tangkas
menentang musuh di medan perang.
Semasa Perang Uhud berlaku,
anak-anak Kabsayah berada di barisan hadapan. Keberanian Saad dan Amru sangat
menggembirakan Nabi Muhammad.
"Nampaknya Saad dan Amru
begitu berani berada di barisan hadapan. Kita sepatutnya mengikut jejak langkah
mereka," kata seorang tentera Islam.
"Betul kata awak," kata
seorang lelaki lain pula.
Mereka pun mara ke hadapan.
Pertarungan di antara tentera Islam dan musuh semakin sengit. Ramai tentera
Islam yang mati syahid. Ini termasuk anak Ummu Saad iaitu Amru.
Tiba-tiba terdengar satu jeritan
seorang lelaki mengatakan, "Hamzah ditikam!"
Peristiwa tikaman Hamzah disusuli
dengan satu peristiwa yang amat menyedihkan. Hindun binti Utbah membelah dada
Hmzah dan memakan jantungnya. Pada masa itu Hindun juga adalah musuh Islam.
Peristiwa kematian pahlawan Islam
di medan Perang Uhud begitu menyedihkan. Berita kematian Amru bin Muaz sampai
ke pengetahuan ibunya. Wanita-wanita Islam Madinah berkumpul bagi menantikan
tentera Islam yang merupakan suami dan ahli keluarga mereka.
"Lihat, Nabi Muhammad berada
di atas kuda tunggangannya. Saad pula sedang memegang tali kendali kuda Nabi
Muhammad," kata seorang wanita.
"Ya. Saad bin Muaz
selamat," kata wanita yang lain.
Melihat kelibat Saad, Ummu Saad
segera mendapatkan anaknya.
"Wahai Nabi Muhammad, wanita
ini adalah ibu saya," kata Saad kepada Nabi Muhammad.
"Apa khabar puan. Selamat
datang," kata Nabi Muhammad.
Kemudian Ummu Saad berkata,
"Syukur alhamdulillah. Tuan selamat dalam Perang Uhud. Lega rasanya hati
saya melihat tuan kembali semula."
"Saya juga mahu ucapkan
takziah kepada awak di atas kematian anak awak iaitu Amru. Tetapi awak jangan
sedih kerana Allah memberikan balasan syurga kepada orang yang mati
syahid," kata Nabi Muhammad kepada Ummu Saad.
Ummu Saad pun berkata, "Saya
reda dengan kematian anak saya. Cuma saya mohon tuan tolong doakan semoga orang
lain tidak sedih mendengar berita kematian ahli keluarga mereka di medan Perang
Uhud."
Berita menyedihkan dengan
kematian Hamzah juga memberi kejutan bagi mereka. Mereka tidak sangka Hamzah
juga turut terkorban di medan perang. Ada juga di antara mereka yang masih
belum dapat menerima kenyataan bahawa salah seorang daripada ahli keluarga
mereka terkorban.
Nabi Muhammad pun berdoa kepada
Allah agar wanita-wanita Islam Madinah itu tidak bersedih dan dapat menerima
kenyataan bahawa ahli keluarga mereka mati syahid. Ramai yang berkumpul di
rumah bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Hamzah. Kematian Hamzah merupakan satu
kehilangan yang besar. Masing-masing bersedih dengan pemergian Hamzah.
Cerita Hamzah dirobek jantungnya
oleh Hindun juga diketahui oleh penduduk Islam Madinah.
"Tidak berhati perut si
Hindun itu. Sanggup dia memakan jantung Hamzah. Semoga Allah membalas perbuatan
buruk yang dilakukannya terhadap Hamzah," kata seorang wanita Islam
Madinah.
Lalu ada seorang wanita muda pula
berkata, "Kita mesti hapuskan kezaliman orang kafir Quraisy. Kita buat
mereka gentar dengan orang Islam."
Semangat mereka berkobar-kobar.
Melihat kematian beberapa orang pahlawan Islam menjadikan mereka orang yang
semakin kuat dan bersemangat. Ada juga di antara mereka yang masih sedih dan
tidak dapat menahan tangisan.
Ketika Nabi Muhammad melihat
kesedihan mereka lalu Nabi Muhammad berkata, "Allah telah reda kepada kamu
semua dan anak-anak kamu."
Kemudian Nabi Muhammad menyuruh
wanita-wanita itu bersurai dan berhenti dari terus menangis dan bersedih. Kisah
Kabsyah ini merupakan contoh teladan yang baik. Sifat sabar dan redanya itu
dibalas oleh Allah dengan kebaikan di dunia dan di akhirat
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Zr29yAr7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment