ARKIB : 14/07/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
NABI SAW bersalam dengan penduduk
Yathrib kecuali dengan dua wanita yang turut serta di situ. - Gambar hiasan
Perjanjian Aqabah kedua yang
berlangsung antara Nabi Muhammad dan penduduk Yathrib seramai 70 orang itu
berlangsung pada malam yang cukup sunyi itu.
Ketika itu Baginda berkata:
"Aku berbaiah dengan kamu supaya kamu dapat mempertahankan aku sebagaimana
kamu mempertahankan isteri dan keluarga kamu."
Lalu Barra bin Ma'rur memegang
tangan baginda sambil berkata: "Ya, demi Tuhan yang membangkitkan kamu
menjadi Nabi dengan sebenarnya, kami akan mempertahankan kamu sebagaimana kami
mempertahankan isteri dan keluarga kami.
"Berbaiahlah dengan kami
wahai Rasulullah, sesungguhnya kami, demi Allah adalah terdiri dari kalangan
yang berpengalaman dengan peperangan dan mahir menggunakan semua jenis senjata
yang kami warisi sejak turun temurun lagi."
Tiba-tiba Abu Al Haitham bin al
Taihan bangun mencelah ketika Al Barra sedang berkata-kata itu. Katanya:
"Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ada hubungan dan perjanjian dengan
satu golongan, iaitu Yahudi di Yathrib. Apakah kalau kami memutuskan hubungan
dengan mereka kemudian Allah memberikan kemenangan kepada kamu, maka kamu akan
balik kepada kaum kamu dan meninggalkan kami begitu sahaja?"
Sambil tersenyum baginda pun
berkata: "Bahkan darah tetap darah, binasa tetap binasa, aku dari kalangan
kamu dan kamu dariku. Aku akan memerangi sesiapa yang kamu perangi dan aku akan
berikan keamanan kepada sesiapa yang kamu selamatkan."
Penduduk Yathrib itu telah
mendengar dengan teliti syarat-syarat yang Nabi Muhammad gariskan untuk mereka
patuhi.
Mereka sedar akan kemungkinan
boleh berlaku andai mereka bersetuju untuk menerima syarat-syarat itu namun
pada masa sama tahu bahawa perjanjian itu mampu mengikat perlakuan-perlakuan
buruk mereka sebelum ini.
Mereka yakin baiah itu mampu
memberikan mereka kehidupan yang lebih baik dan terjamin di samping menjadi
satu kelompok Arab yang bakal disegani lawan dan kawan.
Setelah berbincang sesama sendiri
dan mengambil pelbagai pertimbangan, mereka pun berkata kepada Nabi Muhammad:
"Kami mengambil keputusan bersedia atas musibah yang akan menimpa harta
dan kematian di kalangan kami untuk menerima baiah ini.
"Maka apakah ganjaran untuk
kami ya Rasulullah kalau kami bersetuju untuk baiah dan setia bersamamu?"
Baginda pun menjawab pendek sahaja iaitu: "Syurga."
Lalu mereka kemudiannya pun
berkata: "Hulurkanlah tanganmu wahai Rasulullah!"
Setelah berikrar dengan isi-isi
kandungan baiah itu, lafaznya teguh di bibir dan teguh di hati maka mereka pun
berbaiah seorang demi seorang dengan menjabat tangan Rasulullah yang didahului
oleh Abu Umamah Asaad bin Zirarah.
Kecuali dua orang perempuan yang
hadir dalam majlis baiah itu kerana baginda tidak berjabat tangan dengan
perempuan yang ajnabi (bukan mahramnya).
Jabir bin Abdullah r.a
menceritakan peristiwa ini dengan berkata: "Kami bangun kepada baginda
seorang demi seorang untuk berjabat tanda berbaiah. Baginda mengambil
tanggungjawab baiah yang dibebankan kepada kami. Dia memberi kepada kami akan
janji-janji syurga yang merupakan satu kebenaran."
Memilih naqib
Selepas selesai baiah secara
beramai-ramai itu, baginda Rasulullah terus meminta mereka memilih 12 naqib
yang mewakili kaum mereka untuk menjadi ketua bagi menyampaikan segala arahan
dan pesanan dari baginda kepada anak-anak buah masing-masing.
Mereka pun akhirnya berjaya
memilih sembilan dari kalangan Khazraj dan tiga dari kalangan Aus.
Setelah selesai melantik kesemua
naqib itu, sekali lagi baginda mengikat perjanjian dengan mereka di atas sifat
mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap pengikut masing-masing
mewakili perintah Allah dan RasulNya.
Baginda berkata kepada para naqib
itu: "Kamu bertanggungjawab kepada kaum kamu dengan apa yang ada pada
mereka sebagai penjamin, sebagaimana jaminan Hawariyyah (pengikut setia Nabi
Isa) terhadap Isa bin Maryam dan aku menjadi penjamin terhadap kaum (seluruh
Muslimin)".
Lalu kesemua mereka menerima
kata-kata baginda itu.
Sementara menurut Hadi Awang
dalam buku Fiqh Al Harakah Dari Sirah Nabawiyyah pemilihan para naqib itu
bertujuan melicinkan perjalanan dan tindakan selanjutnya dan supaya semua
tindakan itu tidak diketahui oleh semua anggota tetapi cukup bagi diketahui dan
disalurkan melalui para pemimpin yang dilantik.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aW3idTnT
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment