Ad

Sunday, 23 December 2018

Usman bin Affan

ARKIB : 29/06/2010
USMAN bin Affan dilahirkan pada tahun 576 Masihi. Beliau berasal daripada Bani Umaiyah dan terkenal sebagai sahabat Nabi Muhammad yang dermawan, hartawan dan bangsawan Quraisy. Kekayaan yang dimilikinya digunakan bagi menegakkan Islam.

Usman bin Affan digelar Zu al-Nurain. Ini kerana beliau mengahwini dua orang anak perempuan Nabi Muhammad iaitu Ruqayah kemudiannya Ummi Kalsum. Beliau adalah khalifah yang ketiga dan dilantik pada tahun 23 Hijrah.

Zaman pemerintahan Usman bin Affan dapat dibahagikan kepada dua tahap. Tahap yang pertama adalah tahap masa kegemilangannya dan berlangsung selama enam tahun. Pada masa itu, beliau menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sosial, politik, ketenteraan dan lain-lain. Misalnya, beliau sendiri berjaya meluaskan kawasan pemerintahannya ke beberapa daerah di Parsi dan Afrika.

Tahap kedua dalam pemerintahan Usman mengalami masalah dan dipenuhi dengan keadaan huru-hara yang berlangsung selama enam tahun. Usman bin Affan mula menghadapi masalah dalam bidang politik, sosial dan pentadbirannya menjadi lemah. Masalah yang timbul ini akhirnya menyebabkan rumahnya dikepung oleh pemberontak-pemberontak yang tidak menyukainya. Pemberontak-pemberontak datang dari Kufah, Basrah dan Mesir. Mereka berarak ke Madinah dan menuju ke rumah Usman lalu menceroboh rumahnya. Mereka menikam dan membunuh Usman pada tahun 35 Hijrah.

Pada zaman kegemilangan pemerintahan Usman bin Affan, beliau mengarahkan ulama-ulama menyalin semula al-Quran. Ia sudah dikumpul pada zaman Umar al-Khattab. Pada masa itu, ramai sahabat yang mula menghafal al-Quran. Di setiap wilayah, sedikit perbezaan berlaku dari segi bacaan al-Quran. Hal ini membimbangkan, kerana perbezaan yang berterusan mengakibatkan pertentangan bacaan al-Quran. Akhirnya, ia mencetuskan perselisihan dan permusuhan antara satu sama lain.

Semasa Huzaifah bin Yaman mengikuti rombongan tentera Islam dalam perang Armenia dan Azarbaijan dengan penduduk Iraq, beliau melihat berlaku perbezaan pada bacaan al-Quran. Ada yang membaca al-Quran dan ditambah dengan kesalahan. Malah kesalahan itu tidak diperbetulkan. Mereka masing-masing cuba mempertahankan diri mereka adalah benar. Hal ini menimbulkan masalah besar kepada masyarakat Islam.

Peristiwa itu tidak menyenangkan hati Huzaifah, lalu beliau berjumpa Usman. "Wahai Usman, selamatkan orang Islam ini sebelum mereka berselisih faham mengenai al-Quran sepertimana yang berlaku ke atas orang Yahudi dan Nasrani."

Mendengar cerita Huzaifah itu, Usman terus mengirimkan surat kepada Hafsah binti Umar. Hafsah adalah anak kepada Umar al-Khattab. Surat yang dikirimkan oleh Usman kepada Hafsah berbunyi begini, "Dapatkah saya meminjam senaskah al-Quran daripada kamu. Selepas selesai menggunakannya, saya berjanji mahu memulangkannya dengan segera."

Usman mahu meminjam al-Quran itu bagi disalin semula menjadi beberapa mushaf. Kemudian Usman berjanji memulangkan semula al-Quran itu. Permintaan Usman diterima oleh Hafsah. Kemudian, Hafsah mengirimkan al-Quran yang diminta itu kepada Usman.

Selepas mendapat al-Quran itu, Usman mengarahkan empat orang jurutulis bagi menyalin semula al-Quran. Mereka terdiri daripada Zaid bin Sabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin As dan Abdurrahman bin Haris bin Hisyam.

Sebelum mereka mula menyalin al-Quran itu, Usman berpesan kepada tiga orang Quraisy itu kecuali Zaid bin Sabit. "Jika kamu bertiga berselisih pendapat dengan Zaid bin Sabit mengenai al-Quran, kamu tulislah al-Quran itu dengan bahasa Quraisy. Al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraisy."

Mereka berempat mula menyalin al-Quran yang dipinjam dari Hafsah. Mereka menyalin sebanyak lima buah salinan sebagaimana disuruh oleh Khalifah Usman. Selepas selesai menyalin, Khalifah Usman mengembalikan semula naskhah al-Quran asli kepada Hafsah sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.

"Sekarang kita sudah mempunyai lima salinan naskhah al-Quran yang sama dalam satu mushaf. Salinan-salinan ini perlu dihantar kepada setiap wilayah. Al-Quran lain selain daripada salinan yang baru disalin ini perlu dibakar dengan segera," kata Khalifah Usman.

Kemudian Khalifah Usman menyambung lagi, "Satu naskhah al-Quran yang disalin itu perlu disimpan di Madinah."

Khalifah Usman mengarahkan sahabat-sahabatnya membawa kelima-lima naskhah al-Quran yang disalin itu dan dihantar ke Mekah, Suriah, Basra, Kufah dan Madinah. Semua naskhah al-Quran itu dijadikan sebagai panduan dalam usaha penyalinan berikutnya di daerah masing-masing. Naskhah al-Quran yang disimpan di Madinah itu dikenali sebagai Mushaf al-Imam atau Mushaf Usmani.

Usaha yang dilakukan oleh Khalifah Usman ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Islam yang lain. Selain daripada itu, perselisihan faham dan fitnah kepada isi kandungan al-Quran juga dapat dihindarkan. Oleh yang demikian, wajar bagi kita menjaga kesucian al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tertulis di dalam al-Quran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aVkMLbzN
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 25/06/2010
Azab pengikut Firaun
ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa supaya menyampaikan kepada Firaun bahawa sekiranya Firaun tidak berhenti melakukan kezaliman dan enggan beriman terhadap Allah, maka Allah SWT akan menurunkan seksa dan azab kepadanya.

Lalu Nabi Musa menghadap Firaun bagi menyampaikan perintah Allah itu kepadanya. Namun Firaun bersama pengikutnya enggan menurut perintah tersebut.

Beberapa hari selepas Nabi Musa menghadap Firaun, Allah menurunkan azab seperti yang telah dijanjikan. Allah mendatangkan kemarau yang berpanjangan ke atas bumi Mesir.

Ini mengakibatkan tanam-tanaman tidak tumbuh dan Sungai Nil yang besar dan luas menjadi kering kontang. Maka berkuranglah sumber makanan sehingga berlakunya kemarau dan kebuluran yang teruk.

Namun begitu, Firaun bersama pengikutnya tetap berdegil. Tidak sedikit pun mereka mengendahkan azab yang diturunkan oleh Allah SWT itu. Orang yang beriman telah menyuruh Nabi Musa memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan, maka Allah menurunkan hujan kepada mereka.

Apabila Allah menurunkan hujan dan menyuburkan segala tanaman, Firaun dan pengikutnya mendakwa itu adalah hasil usaha daripada mereka. Sedangkan ketika berlakunya kemarau, mereka menyatakan bencana itu disebabkan oleh Nabi Musa. Firaun bersama pengikutnya semakin sombong.

Oleh kerana kesombongan mereka itulah, Allah SWT menurunkan pula taufan yang dahsyat sehingga menenggelamkan segala tanaman mereka. Disebabkan terdesak, para pengikut Firaun datang menemui Nabi Musa.

"Wahai Nabi Musa, selamatkanlah kami daripada azab ini. Sekiranya engkau menyelamatkan kami, kami akan menerima ajaranmu," janji pengikut Firaun. Mendengar kata-kata pengikut Firaun itu, Nabi Musa berasa amat gembira. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dihentikan bencana itu.

Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dan segala tanaman mereka kembali subur. Namun, mereka telah mengingkari janji.

Lantas Allah SWT menurunkan pula belalang dan kutu-kutu yang tidak terkira banyaknya untuk memusnahkan tanaman mereka. Sekali lagi mereka terpaksa meminta Nabi Musa. Namun memungkiri lagi.

Selepas itu mereka menderita pula menanggung pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang darahnya keluar bercucuran dari mulut dan ada mengalir dari hidung dan telinga. Tanpa segan silu mereka datang lagi menemui Nabi Musa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyayang. Dia telah menghentikan azab itu. Namun mereka masih tidak mahu beriman.

Akhirnya Allah telah menukarkan pula air Sungai Nil menjadi darah. Air itu digunakan sebagai sumber keperluan mereka. Akan tetapi air itu hanya menjadi darah apabila kaum Qibti yang mengambilnya. Peristiwa itu berlaku selama tujuh hari. Sekali lagi mereka datang menemui Nabi Musa.

Dengan penuh kepercayaan terhadap mereka, maka Nabi Musa sekali lagi berdoa kepada Allah SWT. Kemudian Allah yang Maha Pengampun telah menghilangkan malapetaka ke atas mereka. Segala seksaan yang hebat itu lenyap. Namun, mereka masih lagi enggan menerima ajaran Nabi Musa.

Setelah Allah SWT menurunkan segala seksaan dan bala kepada mereka, namun ramai lagi yang tidak mahu beriman kepada ajaran Nabi Musa.

Walaupun begitu, terdapat sebahagian lagi yang telah menerima ajaran tersebut. Firaun tidak boleh menghalang mereka yang telah beriman ini kerana Allah telah menetapkan hati dan keimanan mereka kepada-Nya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5aVhSD6af
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 22/06/2010
Ali bin Abu Talib yang suka bertoleransi
ALI bin Abi Talib adalah khalifah keempat yang dilantik selepas mendapat sokongan majoriti. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah. Beliau dilahirkan pada tahun 602 Masihi.

Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy.

Beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad. Beliau ialah suami Fatimah bin Muhammad dan juga pemuda pertama yang memeluk Islam.

Nabi Muhammad menggelarkannya Zu al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. Beliau juga mendapat gelaran Asad Allah yang bermaksud Singa Allah.

Ali meninggal dunia pada 40 Hijrah kerana ditikam oleh Abdullah bin Maljam iaitu salah seorang daripada golongan Khawarij.

Menurut cerita, Khalifah Ali kehilangan sepasang pakaian perang. Puas beliau mencarinya tetapi masih tidak jumpa pakaian perang tersebut. Pada suatu hari, Khalifah Ali ternampak seorang lelaki Nasrani memakai pakaian perang itu. Ali dapat mengecam pakaian perang itu benar-benar kepunyaannya.

"Tahukah kamu, pakaian perang yang kamu pakai itu adalah milik saya," kata Ali kepada orang Nasrani itu.

"Pakaian perang itu milik saya," ulang Ali lagi.

"Tidak. Pakaian perang ini adalah milik saya," jawab orang Nasrani itu.

Ali tidak berputus asa lalu berkata, "Serahkan semula pakaian perang itu kepada saya. Sudah lama saya mencari pakaian perang itu".

"Tidak. Saya tidak mahu serahkan pakaian perang ini kepada kamu," kata lelaki Nasrani itu.

Lelaki Nasrani itu tetap dengan pendiriannya. Beliau tidak mahu menyerahkan pakaian perang itu walaupun sudah berkali-kali di minta oleh Ali.

"Sekiranya begitu kata kamu, mari kita pergi ke mahkamah. Di sana, pihak pengadilan dapat menentukannya," kata Ali.

"Baik, saya setuju. Mari kita pergi berjumpa dengan tuan hakim," jawab lelaki Nasrani itu.

Kemudian, mereka berjumpa dengan hakim yang bernama Kadi Syuraih. Beliau adalah seorang hakim yang adil dan bijaksana. Sampai sahaja di mahkamah itu, Ali berkata kepada tuan hakim, "Saya tidak pernah memberikan pakaian perang itu kepada orang lain. Saya rasa pakaian perang yang dipakai oleh lelaki Nasrani itu adalah milik saya. Saya dapat mengenali pakaian perang tersebut".

Mendengar penjelasan Ali, hakim menyoal pula orang Nasrani itu, "Adakah benar seperti yang dikatakan oleh Ali tadi".

Lelaki Nasrani itu menjawab, "Pakaian perang itu milik saya". Lelaki Nasrani itu masih tetap dengan pendiriannya menyatakan pakaian perang itu miliknya.

Tuan hakim menjalankan tugasnya dengan adil. Bagi mendapatkan kepastian, tuan hakim bertanya pula kepada Ali, "Bolehkah kamu berikan bukti? Bukti yang menunjukkan bahawa pakaian perang itu milik kamu dan bukan milik lelaki Nasrani itu".

Tuan hakim itu memang seorang yang adil dan bijaksana. Ali berkata, "Saya tidak mempunyai sebarang bukti".

Keputusan mahkamah dibuat. Orang Nasrani itu tidak bersalah. "Saya memutuskan bahawa pakaian perang itu adalah milik orang Nasrani dan bukan milik Ali," kata tuan hakim.

Keputusan mahkamah adalah muktamad. Ali dan orang Nasrani itu keluar daripada persidangan mahkamah. Di luar kawasan mahkamah, lelaki Nasrani itu berjumpa Ali.

"Keputusan yang dijatuhkan oleh tuan hakim adalah muktamad. Tuan hakim hanya menjalankan tugasnya dengan seadil-adilnya. Kamu memang seorang yang jujur dan sabar. Mulai pada hari ini, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah," kata orang Nasrani itu di hadapan Ali.

Ali mendengar dengan teliti. Kemudian, lelaki Nasrani itu menceritakan kisah sebenar mengenai pakaian perang yang dipakainya itu.

"Pakaian perang ini saya terjumpa ketika kamu pergi ke Perang Siffin. Pakaian perang ini terjatuh daripada kenderaan yang kamu naiki. Lalu saya mengambil pakaian perang itu.

"Saya pakai pakaian perang ini dan menjadi milik saya. Tetapi sekarang pakaian perang ini bukan milik saya lagi. Pakaian perang ini adalah milik kamu. Ambillah," kata lelaki Nasrani itu.

Mendengar penerangan lelaki Nasrani itu, Ali kagum dengan sikapnya yang jujur itu.

Kemudian Ali berkata kepada lelaki Nasrani itu, "Kamu memang seorang yang jujur. Sekarang kamu sah menjadi orang Islam. Ambillah pakaian perang ini.

"Saya beri pakaian perang ini kepada kamu. Sekarang pakaian perang ini sah menjadi milik kamu".

Demikianlah sikap jujur, amanah dan suka bertoleransi di antara satu sama lain. Sikap bertoleransi, jujur dan amanah terhadap orang lain akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di kalangan manusia sejagat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aETJwYrH
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment