ARKIB : 12/03/2010
NABI Yusuf dipenjarakan bukan
kerana mencuri atau membunuh tetapi kerana desakan isteri pembesar Mesir iaitu
Zulaikha. Zulaikha mahu Nabi Yusuf dipenjarakan kerana ingin menutup malunya
akibat cuba menggoda Nabi Yusuf.
Setelah itu, tinggallah Nabi
Yusuf dalam penjara. Kehidupan baginda lebih tenang dan damai. Di sini hidup
baginda tidak lagi diganggu oleh wanita-wanita yang selalu menggoda dan
mendorongnya untuk melakukan kejahatan.
Tempoh hukuman penjara yang
dikenakan ke atas Nabi Yusuf tidak ada seorang pun yang tahu. Semua itu
ditentukan oleh pihak berkuasa negeri semata-mata.
Bagi Nabi Yusuf, hidup dalam
penjara yang gelap dan sempit lebih baik kerana jiwanya tidak tertekan dan
terhindar daripada segala godaan serta tipu daya yang akan menjerumuskannya ke
lembah kemaksiatan.
Semasa dalam penjara, Nabi Yusuf
dapat menyampaikan dakwah, memberi bimbingan dan nasihat kepada
penghuni-penghuni yang lain agar mereka insaf serta tidak melakukan dosa lagi.
Harapan baginda hanya satu, agar
orang yang telah melakukan dosa itu akan kembali ke pangkal jalan dan bertaubat
dengan sesungguh hati. Bagi mereka yang dimasukkan ke penjara kerana kesilapan
pemerintah, Nabi Yusuf telah menyarankan mereka supaya bersabar dan bertakwa
kepada Allah supaya kesengsaraan mereka dapat diakhiri dengan cepat.
Pada hari yang sama Nabi Yusuf
dimasukkan ke dalam penjara, terdapat dua pegawai istana yang masuk
bersama-sama dengannya. Mereka telah berkenalan dengan Nabi Yusuf. Akhirnya
mereka telah menjadi sahabat baik dan akrab dalam penjara.
Kedua-dua mereka terlalu sayang
dan kasih kepada Nabi Yusuf. Lagipun baginda merupakan seorang yang sangat baik
hati.
Pada suatu hari, dua orang
sahabat ini telah berkata kepada baginda, "Wahai Yusuf, sesungguhnya kami
amat kasih dan sayang kepada engkau".
Nabi Yusuf pun menjawab,
"Moga Allah memberi berkat kepada kamu berdua. Lagipun dahulu orang yang
menyayangiku akan selalu mendatangkan kecelakaan kepadaku.
"Dahulu saudara perempuanku
amat sayang kepadaku, kemudian ia membawa padah terhadapku, kemudian ayahku
pula menyayangiku dan ia mengundang sifat cemburu saudara-saudaraku yang
lain," jelas Nabi Yusuf.
Kata baginda lagi: "Mereka
telah mencampakkan aku ke dalam telaga. Kemudian aku dicintai pula oleh isteri
pemerintah maka beginilah jadinya nasibku. Sesungguhnya aku amat bimbang
sekiranya ada orang yang menyayangi dan menyintai diriku".
Walaupun Nabi Yusuf berkata
begitu, tetapi dua orang sahabat ini masih menyayangi Nabi Yusuf dan berkata,
"Meskipun demikian katamu, demi Allah, tidaklah kami sanggup membebaskan
diri daripada menyayangi engkau".
Selepas itu mereka pun meneruskan
persahabatan seperti biasa selama mana mereka masih tinggal dalam penjara itu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0312&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5a2Jnwcn9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment