ARKIB : 07/04/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Palestin tidak sahaja masih
diboikot, malah sehingga November tahun lalu seramai 306 kanak-kanak dan remaja
Palestin ditahan dipenjara oleh rejim Israel yang ganas itu.
HAMPIR tiga tahun penuh, tempoh
pemboikotan terhadap umat Islam berlalu sudah. Ia dilancarkan pada tahun
ketujuh selepas Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul.
Namun pada bulan Muharam tahun
ke-10 kenabian baginda, boikot itu berakhir.
Kegagalan boikot itu bukan sahaja
kerana surat deklarasi atau perjanjiannya telah reput dimakan anai-anai, tetapi
di kalangan kafir Quraish sendiri ada yang tidak merestui tindakan tersebut.
Individu yang memainkan peranan
utama membantah boikot itu ialah Hisham bin Amru dari Bani Amir bin Luay.
Tindakan kejam
Dia ialah tokoh dari kalangan
pemimpin kafir Quraisy tetapi di hatinya ada bibit-bibit simpati terhadap apa
kesengsaraan penganut Islam ekoran tindakan yang mereka lakukan.
Lantas Hisham dikatakan sering
membawa masuk secara curi-curi makanan dan lain-lain keperluan ke perkampungan
Abu Talib terutama pada waktu malam.
Sehinggalah pada suatu hari
beliau terfikir sampai bila tindakan kejam seperti itu ke atas umat Islam akan
berterusan?
Perkara itu disuarakan Hisham
ketika bertemu Zuhayr bin Abi Umayyah al-Makhzumiy.
Zuhayr merupakan anak saudara
kepada Atikah binti Abdul Mutalib, iaitu salah seorang yang sedang menderita akibat
pemulauan melampau oleh kafir Quraisy.
"Wahai Zuhayr adakah engkau
suka untuk makan dan minum sedangkan saudara maramu, terutama ibumu sendiri
dalam keadaan yang engkau sendiri tahu," tanya Hisham.
Zuhayr menjawab: "Jahanam
kamu wahai Hisham! Apa yang aku boleh buat, sedangkan aku cuma seorang sahaja?
Demi Allah kalau ada seorang lagi yang bersamaku nescaya akanku usahakan
membatalkan perjanjian itu!"
Lalu Hisham pun membalas:
"Engkau telah pun menemui orang itu!".
Zuhayr bertanya: "Siapakah
gerangan orang itu?"
Jawab Hisham: "Akulah
orangnya!"
Zuhayr lantas berkata: "Cari
lagi orang yang ketiga untuk bersama-sama kita menghentikan pemulauan terhadap
Bani Hashim itu!"
Hisham kemudiannya berjaya
mengumpulkan lima pembesar kafir Quraish termasuk dirinya untuk membebaskan
umat Islam dari sekatan ekonomi itu.
Selain dari Hisham dan Zuhayr
tiga lagi ialah Al Mut'im Ibnu al Adiy, Zumaah bin Aswad bin Al Mutalib bin
Asad dan Abu al Buhturi (Abu al Bakhtariy) bin Hisham.
Ketiga-tiga mereka dikatakan
mempunyai kaitan atau hubungan pertalian saudara dengan umat Islam yang sedang
diboikot itu.
Keesokan harinya, kelima-lima
mereka menuju ke Mekah bagi membatalkan perjanjian sekatan itu.
Sebaik sampai di hadapan Kaabah,
kelima-limanya segera melakukan tawaf, sebanyak tujuh kali dan kemudian tampil
di hadapan para pembesar-pembesar Quraisy yang sedang berkumpul.
Lalu Hisham pun berkata dengan
suara yang lantang: "Wahai kaum Quraisy, kita sudah bersalah terhadap kaum
kita sendiri. Sedarkah tuan-tuan bahawa selama tiga tahun lamanya kita telah
memboikot kaum kita sendiri. Tiga tahun lamanya juga kita membiarkan mereka
hidup dalam kelaparan dan serba kekurangan.
"Demi Allah, ini suatu yang
memalukan, orang lain akan memalukan kita selama-lamanya selepas ini.
"Kita mesti membatalkan
perjanjian yang sangat berat sebelah ini.
"Demi Allah aku tidak akan
berdiam diri melainkan setelah dikoyakkan lembaran perjanjian yang zalim
ini!"
Kata-kata Hisham itu menimbulkan
kemarahan para pembesar lain yang hadir terutama Abu Jahal.
Dia bangun membantah kerana
sekatan ekonomi itu sudah disepakati antara orang bukan Islam Quraisy.
Kata Abu Jahal, sekatan akan
berterusan selagi pengikut-pengikut Nabi Muhammad tidak kembali kepada agama
asal mereka, iaitu menyembah berhala!
"Engkau bohong Wahai Hisham!
Demi Allah, lembaran perjanjian itu tidak akan dikoyak!" Tegas Abu Jahal.
Kemudian Zamaah bin Al Aswad pun
bangun dan berkata: "Demi Allah, engkau lebih pembohong lagi. Kami tidak
pernah merestui ketika surat perjanjian itu ditulis!"
Pertolongan Allah
Ini diikuti oleh Abu al
Bakhtariy: "Zamaah benar, kami tidak rela dengan apa yang ditulis di
dalamnya dan kami tidak memperakuinya."
Ini diikuti oleh al Mut'im bin
Adiy yang berkata: "Kamu berdua benar dan bohonglah orang yang berkata
lain daripada itu. Kami berlepas diri kepada Allah daripada surat perjanjian
itu dan apa yang ditulis di dalamnya."
Tetapi Abu Jahal membalas:
"Kamu semua telah merancang dan berpakat untuk membatalkan perjanjian ini.
Aku tetap membantah. Sekatan ini mesti diteruskan sehingga Muhammad dan
pengikut-pengikutnya sedar yang mereka telah membuat kesilapan besar dengan
memeluk Islam itu."
Namun Abu Jahal sebenarnya
berseorangan dalam mempertahankan sekatan itu.
Ini kerana pembesar lain yang
hador akhirnya termakan dengan kata-kata lima orang pembesar Quraisy itu.
Mereka akhirnya bersetuju supaya pemulauan itu ditarik balik.
Akhirnya Al Mut'im menghampiri
Kaabah untuk mengoyak perjanjian itu.
Tetapi apa yang didapati ialah
surat perjanjian itu yang sebelum ini elok telah dimakan anai-anai kecuali
ditinggalkan kalimah Bismikallahumma (Dengan namaMu Ya Allah).
Maka dengan pertolongan Allah
juga, surat perjanjian memboikot Rasulullah dan para pengikut baginda akhirnya
terbatal dengan sendiri.
Musyrik Mekah sebenarnya telah
menyaksikan satu mukjizat atau tanda kebesaran Allah mengenai kebenaran ajaran
yang dibawa oleh Nabi SAW itu.
Namun mereka tetap berdegil. Ini
sebagaimana disebut oleh Allah dalam surah Al Qamar, ayat 2: Dan kalau mereka
(kaum Musyrik) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar dan sambil
berkata: "(Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku".
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0407&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5a7QONaqQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment