DUA tonggak
pertahanan Harimau Malaya, Aidil Zafuan (kiri) dan Syazwan Andik yang sebelum
ini terpaksa diketepikan akibat kecederaan dapat diturunkan dalam aksi final
kedua Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.
13 Disember
2018 10:38 AM
SEPANG 13 Dis.
- Skuad Harimau Malaya mendapat suntikan semangat menghadapi Vietnam pada aksi
final kedua Piala AFF Suzuki 2018, setelah dua tonggak pertahanan, kembali
pulih daripada kecederaan untuk turun beraksi di Stadium My Dinh, Hanoi, Sabtu
ini.
Dua pemain
berkenaan adalah pertahanan tengah, Aidil Zafuan Abd Radzak dan pertahanan
kiri, Syazwan Andik Mohd. Ishak yang tidak diturunkan pada aksi final pertama
di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu yang menyaksikan kedua-dua pasukan
seri 2-2.
Pengendali
skuad negara, Tan Cheng Hoe mengakui kehadiran semula dua pemain berkenaan
selain kembalinya pertahanan kanan, Syahmi Safari daripada penggantungan satu
perlawanan, nyata memberi kelegaan kepadanya untuk aksi genting di Hanoi nanti.
"Kita
harap dengan kembalinya tiga pemain pertahanan ini, ia sedikit sebanyak
membantu kita di barisan pertahanan, namun kita tahu serangan Vietnam agak
pantas, cepat mengambil peluang dan pemain perlu fokus selain kubu negara tidak
dibolosi," katanya ketika ditemui pemberita sebelum berlepas ke Hanoi di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Dalam pada
itu, Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan akan berlakunya perubahan formasi
terutamanya di bahagian pertahanan selepas kubu skuad negara mudah dibolosi
pada aksi sebelum ini, namun mengakui ia bergantung kepada keadaan pada hari
perlawanan berkenaan.
"Pemain
juga sudah tahu keadaan cuaca di sana, mungkin hujan atau keadaan sejuk dan
pemain kena bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana
nanti," jelas Cheng Hoe yang menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K.
Rajagobal ketika Malaysia meraih kejuaraan sulung pada edisi 2010.
Dalam pada
itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang
turut serta ke Hanoi, mengakui kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang
seimbang untuk muncul juara buat kali kedua, dengan Vietnam muncul juara pada
2008, manakala Malaysia pada 2010.
"Apabila
keputusan seri 2-2 pada aksi (final pertama) sebelum ini, mungkin ada penyokong
yang berpendapat kita mempunyai peluang tipis (untuk muncul juara) di Hanoi,
tetapi dalam bola sepak, apa pun boleh terjadi macam kita bertemu dengan
Thailand (separuh akhir).
"Saya
kira peluang kita untuk muncul juara dengan Vietnam adalah 50-50, maknanya kita
ada peluang dan dia pun ada peluang, dan dia tertekan beraksi di laman sendiri
dan saya ingat pemain kita bersedia main tanpa tekanan dan beraksi dengan
baik," tegas Hamidin.
Untuk rekod,
Malaysia bangkit daripada ketinggalan sebelum mengikat Vietnam 2-2 pada aksi
final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lepas. - BERNAMA
SUMBERArtikel
Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/aidil-syazwan-kembali-perkuatkan-harimau-malaya-1.804064#ixzz5ZYoOwQ4i
© Utusan
Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment