MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
SEPANG: Pemain
naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh gembira dengan kehadiran semula
tonggak pertahanan kanan, Syahmi Safari yang kini bebas daripada penggantungan
menjelang aksi kedua final Piala AFF menentang Vietnam di Stadium My Dinh,
Hanoi pada Sabtu ini.
Jelas Sumareh,
ketiadaan pemain muda Selangor itu pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit
Jalil yang berkesudahan seri 2-2 Selasa lalu, amat dirasai terutama ketika
melancarkan serangan ke kubu lawan.
Syahmi yang
menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan di separuh akhir kedua menentang
Thailand, kerap membantu bahagian serangan menerusi hantaran silang menarik
sekali gus memudahkan tugas Sumareh yang beraksi di posisi sayap kanan pasukan.
Katanya, dia
sangat serasi bergandingan bersama Syahmi yang sudah dibuktikan dalam beberapa
perlawanan sebelum ini.
"Walaupun
Syahmi pemain pertahanan, dia banyak bantu saya ketika kami melancarkan
serangan dari sebelah kanan.
"Malah,
'chemistry' antara kami cukup baik dan saya yakin kehadirannya dalam
kesebelasan utama akan membolehkan kami mendapat rentak asal seperti mana
ketika menentang Thailand," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang
Antarabangsa Sepang (KLIA), di sini, hari ini.
Pada aksi
pertama di Bukit Jalil, tempat Syahmi diisi pertahanan kanan Perak, Amirul
Azhan Aznan yang tampak gugup sepanjang aksi sebelum dia dikeluarkan dan
digantikan dengan Syafiq Ahmad pada babak kedua.
Dalam
perlawanan itu, skuad negara terlebih dahulu ketinggalan apabila skuad Naga
Emas mendahului dengan dua gol hasil jaringan Nguyen Huy Hung pada minit ke-22
dan Pham Duc Huy (m-25).
Tonggak
pertahanan tengah, Shahrol Saad kembali menghidupkan semangat pasukan negara
apabila merapatkan kedudukan menerusi tandukan (m-36) sebelum Safawi Rasid
meledak gol penyamaan hasil sepakan percuma pada babak kedua.
"Kami
kena berhati-hati dengan serangan balas mereka yang cukup pantas. Namun kami
bukan merancang untuk seri sebaliknya menang.
"Saya
harap setiap pemain akan mempunyai mentaliti kemenangan. Hanya dengan
kemenangan kita dapat muncul juara, bukan seri tapi menang," kata pemain
kelahiran Gambia itu.
SUMBERArtikel ini
disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 12:49 PM
No comments:
Post a Comment