ARKIB :
01/02/2010
Susunan SITI
AINIZA KAMSARI
MASJID Saidina
Umar di Jerusalem (Baitul Maqdis) yang terletak berhampiran Gereja the Holy
Sepulchre yang dibina bersempena Saidina Umar pernah bersolat di atas tapak
masjid itu.
Siapakah
sahabat Nabi Muhammad yang sanggup membunuh sesiapa sahaja yang berani
mengatakan bahawa baginda Rasulullah telah wafat?
Akibat tidak
dapat menerima hakikat, orang yang paling dikasihi akhirnya pergi menemui
Allah, Saidina Umar Al Khattab menghunuskan pedang dan mengamuk sekeliling kota
Mekah.
Sehinggalah
beliau berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq supaya
menerima hakikat kewafatan Rasulullah itu tiada bezanya seperti manusia-manusia
yang lain.
Kata Abu
Bakar: "Sesiapa yang mengikuti Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah
wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT ketahuilah bahawa Allah itu
hidup dan tidak akan mati!"
Barulah Umar
akur dan tunduk kepada ketentuan Allah yang berat itu, tidaklah lagi beliau
mengamuk malah mengajak umat Islam yang lain juga menerima hakikat pedih itu
dengan iman dan tabah.
Begitulah
Umar, masih tersisa sifat peribadinya yang tegas, tetap pendirian dan sanggup
melakukan apa sahaja bagi mempertahankan pendiriannya itu.
Sungguhpun
begitu beliau sering dijadikan bahan perumpamaan. Ini apabila Umar diumpamakan
seperti sebongkah batu yang sangat keras dan tidak mungkin sesiapa dapat
memecahkannya. Tetapi jika sudah ditakdirkan Allah beliau akhirnya tunduk
memeluk Islam, terbukti batu yang keras pun boleh dileburkan.
Namun
pengislaman Umar yang mempunyai kisah tersendiri itu bukan sahaja berfaktorkan
hidayah tetapi mungkin juga berkat doa dari Rasulullah.
Menurut Al
Mubarakfuri dalam buku sirah Nabawiyyah SAW, Rasulullah sering meminta dan
berdoa kepada Allah: "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang lelaki
yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin
Hisham".
Ini mungkin
kerana di zaman jahiliah kejahatan Umar dan Abu Jahal begitu melampau terhadap
Islam yang seolah-olah tidak mampu lagi dihadapi oleh baginda. Itu menyebabkan
baginda sering berdoa. Ternyata Allah lebih 'menyayangi' Umar dan diberikannya
hidayah dan cahaya Islam.
Sehingga tidak
dinafikan tanpa sumbangan dari Umar, perjalanan dakwah baginda Rasulullah
mungkin adalah lebih sukar daripada apa yang kita dapat bayangkan!
Umar lebih
dikenali sebagai Umar Al Faruk. Iaitu seseorang yang tahu memilih dan
membezakan antara yang hak dan batil, antara benar dan palsu.
Gelaran ini
diberi oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam
bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam
sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaga para jemaah itu daripada gangguan
orang-orang Quraisy.
Nabi Muhammad
SAW juga memanggil Umar dengan panggilan 'Abu Hafs' kerana kegagahannya itu.
Daripada
seorang yang sangat petualang kepada Islam di zaman jahiliahnya, tetapi di
zaman Islam beliau seorang pejuang Islam yang paling gigih, kental dan sejati.
Tiada siapa
dapat menafikan hakikat itu. Sehingga dapat menakluk wilayah-wilayah bagi
meluaskan jajahan dan empayar Islam dari Timur ke Barat dan sehinggalah pada
tahun 637 beliau berjaya mengembalikan semula Baitul Maqdis kepada Islam.
Dikisahkan
selepas pengepungan Baitul Maqdis yang agak lama, tentera Islam berjaya
menakluk kota tersebut yang diketuai oleh panglima Islam Abu Ubaidah ibn
al-Jarrah.
Namun Paderi
Besar Baitul Maqdis iaitu Sophronius enggan menyerah diri kecuali kepada
Saidina Umar sendiri.
Lalu Umar
mengembara dari Madinah dan apabila bertemu, Paderi itu menyerahkan sendiri
kunci kota itu kepada Saidina Umar.
Beliau
kemudiannya mengajak Saidina Umar bersembahyang di dalam gereja besar Kristian
iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak. Sebaliknya
beliau solat tidak jauh dari gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan
status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian.
Di samping
tidak mahu ada pihak yang salah faham bahawa jika Umar melakukan solat di
gereja itu bermakna khalifah Islam itu hendak menawan gereja untuk dijadikan
masjid.
Sehinggalah 50
tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina
Umar solat.
Begitulah
antara moral atau akhlak Umar yang unggul dan sukar ditemui pada mana-mana
pemimpin dunia yang lain.
Justeru
mengapa tidak kita kembali mengenali Umar kerana segala sifat-sifat yang ada
pada beliau itu wajar sekali disegarkan kembali dalam ingatan. Setelah kembali
segar, mengapa tidak beliau kita contohi?
Sifat-Sifat
Peribadi
Seorang yang
bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan agama Islam juga seorang yang
tegas dan adil.
Ditakuti oleh
orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang
berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang
lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah.
Pernah
menyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika itu beliau memegang jawatan
khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya.
Malah beliau
sendiri yang mengangkat guni-guni gandum dan minyak untuk diberi kepada
golongan yang memerlukan.
l Berfikiran
terbuka
Menerima pendapat
sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu
mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk
Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat.
Menerima
pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh
meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum
lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun
daripada rakyat biasa.
l Berani
Sebelum
memeluk Islam dengan begitu kuat menentang Rasulullah SAW sehingga menyebabkan
beliau sangat ditakuti dan digeruni oleh orang yang memeluk agama Islam. Namun
apabila 'berani kerana benar' beliau tidak gentar mengisytiharkan dirinya
memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai.
Satu-satunya
Muslim yang berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang
ramai.
Beliau jugalah
yang mencadangkan Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka.
Sebagai jaminan beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang
Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah.
Oleh kerana
ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran al-Faruq.
l Adil
Seorang
pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan
kemakmuran rakyatnya. Beliau tidak memilih bulu dan mengetepikan soal status
diri dan sesiapa yang didapati bersalah, tetap akan dihukum.
Beliau juga
pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash,
yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.
Jasa-jasa dan
sumbangan besar Umar terhadap Islam begitu dijanjikan kepadanya akan syurga.
Bagi Umar segala kebaikan yang beliau lakukan selepas memeluk Islam seolah-olah
masih tidak membayar segala dosa dan kesalahan beliau yang lampau itu.
Abu Hurairah
berkata: Rasulullah SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling mulia? Jawab
baginda: Orang yang paling bertakwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami
tanyakan. Jawab Nabi: Kalau begitu, tentang siapakah orang Arab yang paling
mulia yang kamu ingin tanyakan kepadaku? Sesungguhnya orang paling mulia di
kalangan kamu pada masa jahiliah, dia jugalah yang paling mulia di antara kamu
di dalam Islam sekiranya dia tafaqquh fiddin. (riwayat Bukhari)
Tepat sekali
jika yang dimaksudkan oleh baginda itu antaranya Umar al Khattab. Lebih-lebih
lagi setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta
oleh syaitan.
Apakah
rahsianya Saidina Umar Al Khattab boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya
tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin (faham agama).
Mukmin yang
tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang
yang banyak beribadat tetapi jahil tentang selok belok agama.
Ini
berdasarkan hadis Nabi SAW: Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin)
adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'abid (orang yang
banyak beribadat). (riwayat Tarmidzi, Ibnu Majaah dan al-Baihaqi)
Nama penuh
sahabat besar Nabi ini ialah Umar bin Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b.
Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab.
Dilahirkan
pada tahun 583M daripada Bani Adi iaitu salah satu puak dalam kabilah Quraisy
yang dipandang mulia, megah dan berkedudukan tinggi.
Beliau juga
terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Umar memeluk Islam pada tahun
keenam selepas kerasulan nabi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5ZpxlUsBF
© Utusan
Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment