ARKIB : 29/01/2010
KAUM 'Ad merupakan kaum yang kuat
dari segala segi. Mereka bukan sahaja mempunyai kerajaan yang teguh, tetapi
juga badan yang tegap dan sasa. Mereka dikurniakan pancaindera yang baik supaya
dapat mengenal Allah.
Namun mereka mengabaikan segala
anugerah tersebut. Mereka tidak menggunakan akal fikiran mereka untuk mendengar
dalil-dalil tentang kekuasaan Allah. Sebaliknya mereka menggunakannya untuk
mencari kepuasan hidup semata-mata.
Kehidupan kaum 'Ad sangat mewah.
Mereka dikurniakan kawasan pertanian yang subur. Harta-harta mereka juga
menggunung sehingga kaum mereka disegani kerana kekayaan yang dimiliki. Negeri
mereka juga terdapat banyak bangunan yang tinggi dan tiada di tempat lain.
Kebahagiaan dan kekayaan yang
banyak ini telah menyebabkan mereka lupa diri. Mereka lupa kepada pencipta dan
asal usul mereka.
Lebih teruk lagi, mereka sama
sekali tidak mengakui kewujudan Allah SWT. Hidup mereka menjadi semakin tidak
berperaturan. Mereka menyembah dan meminta pertolongan kepada apa sahaja yang
mereka sukai. Ada yang menyembah batu, patung dan sebagainya.
Walaupun Nabi Hud diutus untuk
membimbing mereka, namun baginda tidak berjaya. Mereka tetap degil dan keras
kepala untuk menerima ajakan ke arah kebenaran. Sebab itulah Allah menurunkan
azab yang cukup pedih kepada mereka.
l Petikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5ZoMz4O3n
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment