ARKIB : 09/02/2010
JA'DAH binti Ubaid bin Tsalabah
al-Anshariyah an-Najjariyah adalah ibu kepada seorang sahabat Nabi Muhammad.
Anaknya bernama Harisah bin Nu'man adalah seorang sahabat yang terkenal.
Ja'dah berkahwin dengan an-Nu'man
bin Nafi' an-Najjari. Kemudian perkahwinan itu tidak kekal lama. Setelah dia
berpisah dengan suaminya, seorang lelaki bernama al-Habbab bin al-Arqam telah
melamarnya. Hasil perkahwinan itu lahir seorang anak lelaki yang bernama
al-Haris.
Adik-beradik Ja'dah iaitu Amru,
Afra dan Khaulah menyokong tindakan Ja'dah memeluk Islam dan berbaiah kepada
Nabi Muhammad. Mereka adik-beradik tidak mahu ketinggalan mendapat cahaya Islam
Ja'dah adalah jiran Nabi
Muhammad. Nabi Muhammad sering menziarah Ja'dah dan keluarganya. Ja'dah
merupakan seorang jiran yang baik. Dia tidak pernah kedekut atau mementingkan
diri sendiri. Malah dia suka bersedekah dan murah hati.
Nabi Muhammad pernah dijemput
makan di rumah Ja'dah. Semasa berada dirumah Ja'dah, Nabi Muhammad akan berbual
dengan Harisah bin Nu'man dan ibunya.
Ja'dah juga merupakan ibu yang
baik. Dia pandai mendidik anaknya sehingga anaknya menjadi seorang pahlawan
Islam yang terkenal. Semasa perang Badar, Harisah telah bersama-sama mengikuti
tentera Islam menghadapi musuh di medan perang.
Harisah dididik oleh ibunya
supaya sentiasa menolong orang. Sikapnya yang suka menolong itu dapat dilihat
apabila dia menolong Nabi Muhammad bagi mendapatkan sebuah rumah.
Kisahnya berlaku apabila Nabi
Muhammad berkahwin dengan Mariam al-Qibtiyah dan ingin membawa isteri barunya
pulang ke rumah.
"Ibu dengar Nabi Muhammad
sudah berkahwin lain," kata Ja'dah kepada anaknya.
"Ya ibu. Saya juga dapat
berita yang sama," kata Harisah.
Ja'dah dan anaknya adalah jiran
yang paling dekat dengan rumah Nabi Muhammad. Dia ingin membantu Nabi Muhammad.
"Pada pendapat ibu, sudah
tentu Nabi Muhammad ingin menempatkan isteri barunya di rumah yang lain.
Tambahan pula apabila isteri-isterinya tahu Nabi Muhammad berkahwin lagi,
mereka tentu cemburu," jelas ibunya.
Ja'dah memandang wajah anaknya.
Sementara anaknya turut memerhatikan ibunya.
Sebentar kemudian Ja'dah berkata
lagi kepada anaknya, "Ibu faham perasaan seorang wanita apabila mendapat
tahu suaminya berkahwin lagi. Isteri-isteri Nabi Muhammad tentu akan cemburu
apabila mendengar berita ini," jelas ibunya panjang lebar.
Harisah seorang anak yang baik
dan mendengar kata ibunya. Lalu Harisah pun berkata, "Benar kata ibu. Elok
rasanya Nabi Muhammad menempatkan isteri barunya di rumah yang lain."
Harisah terdiam seketika. Dia
memikirkan rumah yang sesuai untuk isteri baru Nabi Muhammad itu. Harisah
mempunyai beberapa buah rumah yang berdekatan dengan rumah Nabi Muhammad. Hal
ini berlaku kerana setiap kali Nabi Muhammad mendapat keluarga baru pasti
Harisah akan menawarkan diri dan mengizinkan rumahnya digunakan oleh Nabi
Muhammad.
"Baik, saya bersetuju untuk
membenarkan Nabi Muhammad tinggal di rumah ini. Saya akan mengemas
barang-barang yang ada dan mengosongkan rumah ini," jelas Harisah kepada
ibunya.
"Semoga Allah membalas jasa
baik anak ibu ini," kata Ja'dah pula.
Ja'dah gembira mempunyai anak
seperti Harisah. Dia bersyukur kepada Allah kerana anaknya mempunyai akhlak
yang baik dan sanggup berbakti kepadanya. Harisah berjumpa dengan Nabi Muhammad
dan menyatakan hasratnya itu.
"Wahai tuan, selamat
pengantin baru," kata Harisah kepada Nabi Muhammad.
"Terima kasih," jawab
Nabi Muhammad.
"Tuan, saya ingin beritahu
tuan bahawa tuan boleh bawa isteri baru tuan ini ke rumah saya. Tuan boleh
tinggal di rumah itu selama mana yang tuan suka. Saya sudah mengosongkan rumah
itu untuk keselesaan tuan dan isteri baru tuan ini," jelas Harisah kepada
Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad terharu dengan
keputusan yang dibuat oleh Harisah. Lalu Nabi Muhammad berkata, "Saya malu
terhadap Harisah kerana sanggup berpindah dari satu rumah ke satu rumah yang
lain semata-mata untuk saya dan isteri."
Begitulah sikap Harisah apabila
Nabi Muhammad mendapat keluarga baru. Dia pasti akan berpindah rumah bagi
menyediakan rumah untuk Nabi Muhammad. Ini adalah hasil didikan yang suci dan
murni dari ibunya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ZqM2C8Si
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment