MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Perak Datuk M Karathu berpendapat pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe perlu berani melakukan rombakan termasuk meletakkan Mohamadou Sumareh sebagai penyerang.
Beliau berkata, kekuatan fizikal dan kemahiran yang ada pada pemain naturalisasi dari Gambia itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya apabila Malaysia turun berdepan Vietnam pada perlawanan akhir kedua di Hanoi, Sabtu ini.
"Kalau kita lihat, Sumareh boleh menguasai bola dengan baik, menggelecek pemain lawan dengan kemahiran dan kepantasannya. Pada saya, lebih baik dia bermain di posisi Zaquan (Adha Abd Radzak) sebagai penyerang tengah dan bukannya di bahagian tepi.
"Jika dia di bahagian tengah akan memudahkannya membuat percubaan. Jika dia bermain di bahagian tepi, dia hanya boleh melakukan hantaran.
"Memang kita ada seorang lagi penyerang, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) tapi saya lihat dia tidak mendapat sokongan rakan sepasukan di bahagian atas," jelas Karathu ketika dihubungi hari ini.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe berdepan misi berat di Hanoi selepas hanya mencatat keputusan seri 2-2 pada pertemuan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Malaysia juara 2010 memiliki rekod buruk di gelanggang lawan itu apabila tewas 0-2 di peringkat kumpulan dan bagi bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, Cheng Hoe perlu mengukuhkan bahagian pertahanan bagi mengelak situasi sama berulang.
"Kita bermain baik dengan mengawal permainan tapi kita kurang bijak untuk masuk ke dalam kotak penalti Vietnam ketika menyerang. Bila kita 'syok' menyerang, kita terlupa Vietnam sangat bahaya ketika membuat serangan balas pantas.
"Kita banyak kali terperangkap dengan hantaran bola Vietnam ke belakang pertahanan kita. Hantaran pemain Vietnam cukup baik dan mereka memiliki penyerang yang pantas untuk memintas pemain pertahanan kita, jadi kita perlu lebih berhati-hati selepas ini.
"Peluang kita masih ada dan jika kita boleh menjaringkan gol awal, ia akan memberi tekanan kepada Vietnam nanti," katanya yang membimbing skuad negara muncul naib juara pada edisi pertama Piala AFF 1996.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:23 PM
No comments:
Post a Comment