Ad

Sunday, 16 December 2018

Kedudukan ayahanda, bonda Nabi SAW


ARKIB : 22/02/2010
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.

Memperingati dan meraikan kelahiran baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana, suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi SAW.

Insya-Allah, di kesempatan yang akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

Ruangan ini terpanggil untuk menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.

Persoalan yang dimaksudkan adalah dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang musyrik serta ditempatkan ke neraka.

Kami terpanggil untuk menyentuh soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.

Masyarakat Arab jahiliah

Zaman Jahiliah yang meliputi era kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.

Manusia pada zaman tersebut melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah menyeleweng sekian lama.

Diriwayatkan bahawa pegangan asal masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s. Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.

Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu, mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah 'Amru ibnu 'Amir al Khuza'i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah daripada datuk Nabi SAW. Maka 'Amru ibnu 'Amir telah mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat."

Kesesatan ini tersebar meluas sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.

Ahli fatrah

Setelah sekian lama amalan penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran daripada sebarang petaklifan.

Mereka inilah yang digelar sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana perutusan sebarang rasul.

Golongan ini walaupun melakukan penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra': 15)

Agama dan kepercayaan

Dalam keadaan masyarakat yang begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya; agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.

Demikian juga tidak sunyi pada zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai agama hanif.

Ajaran ini tidaklah tersebar luar sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.

Ada banyak fakta sejarah yang diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Adalah Adnan, Ma'ad, Rabi'ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan ucapan yang baik.

Daripada perbahasan di atas secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka, sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian, tidak bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan i'tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menyentuh tentang perbahasan akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.

Bahkan fakta-fakta sejarah yang dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa mereka adalah golongan yang beriman.

Dalam dalil yang umum pula, keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)

Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35 surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ibnu Jarir berkata: "Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".

Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Allah SWT berfirman (maksudnya): Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu'ara': 219)

Mengenai penafsiran ayat ini, Ibnu Abbas RA berkata: "Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai seorang nabi".

Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud dan beriman kepada Allah).

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil pernikahan seumpama Islam".

Diriwayatkan dalam Dalail al Nubuwwah daripada Ummu Sama'ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata: "Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliah".

Mengambil kira pelbagai hujah berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi kita.

Marilah kita mengambil sikap yang lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata: "Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii'tikadkan), bahawa bonda Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala".

Kita juga mendapati Mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Juma'ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan, ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.

Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW dengan sebaik-baiknya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Zqz5hI9R
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment