ARKIB : 23/04/2010
SEJAK kecil, Nabi Isa menunjukkan
sifat-sifat mulia berkat asuhan dan didikan ibu baginda, Maryam. Baginda
merupakan seorang kanak-kanak yang bijak yang mana ia melebihi kawan-kawan
sebaya, malah melebihi orang dewasa.
Baginda membesar dan menjadi
kanak-kanak yang sihat. Baginda juga merupakan kanak-kanak yang periang dan
peramah sehingga mendapat ramai kawan.
Nabi Isa tidak pernah menyakiti
hati kawan-kawannya. Pada suatu hari, Nabi Isa bermain teka-meneka dengan
kawan-kawannya.
Baginda meneka dengan tepat apa
saja yang ditanya oleh kawan baginda.
Baginda bertanya kepada salah
seorang kawan: "Tahukah engkau makanan apa yang ibumu sembunyikan?"
"Tidak. Apa yang
disembunyikan oleh ibuku?" tanya kawannya itu tidak sabar-sabar lagi.
"Pagi tadi, ibumu ke pasar.
Dia membeli buah epal, tetapi dia tidak mahu kamu mengambilnya. Lalu
disembunyikannya," cerita Nabi Isa.
Tanpa berlengah lagi, kawan
baginda itu terus berlari pulang. Dia segera menemui ibunya yang sedang
memasak.
"Ibu, saya mahukan makanan
yang ibu sembunyikan daripada saya," kata budak itu.
Ibunya kehairanan. Dia terus
bertanya, "Makanan yang ibu sembunyikan?"
"Epal. Ibu sembunyikan buah
epal daripada saya," jawab budak itu.
Ibunya pelik bagaimana anaknya
mengetahui semua itu. Sewaktu dia menyembunyikan makanan itu, tiada sesiapa
melihatnya atau ada orang yang terlihat.
"Siapakah yang memberitahu
kamu?" soal ibu budak itu.
"Isa putera Maryam,"
jawab anaknya.
Setiap hari ada saja kawan-kawan
Nabi Isa bertanya kepada baginda tentang makanan yang disembunyikan oleh
ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka hairan dan kagum dengan kemampuan Nabi Isa
mengetahui perkara-perkara ghaib itu.
Nabi Isa kelihatan
bersungguh-sungguh apabila mempelajari sesuatu. Segala yang dipelajari dapat
dikuasai baginda dengan baik. Semua guru kagum dengan kepintaran Nabi Isa.
Ketika berumur 12 tahun, Maryam
membawanya ke Baitul Maqdis. Baginda tidak suka tinggal di Baitul Maqdis.
Orang-orang di sana suka berfoya-foya dan membuang masa. Mereka langsung tidak
membuat kerja-kerja yang berfaedah.
Baginda pula suka belajar. Waktu
baginda dipenuhi dengan belajar. Baginda mencari guru untuk belajar agama.
Baginda juga gemar menghadiri majlis agama dan suka bertanya sekiranya tidak
tahu.
Kerap pula baginda berdebat kalau
baginda merasakan sesuatu perkara itu tidak benar. Cara ini tidak digemari oleh
ulama dan pendeta kerana sikap membantah Nabi Isa itu.
Namun begitu ramai yang mahu
berkawan kerana baginda tidak pernah membeza-bezakan kawan-kawannya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0423&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5a7yRjrfq
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment