ARKIB : 19/02/2010
NABI Saleh seorang yang tabah
dalam menyampaikan dakwah. Dalam proses dakwahnya itu, baginda ditentang hebat
oleh kaum Tsamud yang degil. Kaum itu telah melakukan berbagai-bagai usaha
untuk menjatuhkan Nabi Saleh termasuklah untuk membunuhnya.
Mereka juga menyebarkan berita
bahawa Nabi Saleh seorang ahli sihir dan pembohong.
Kaum Tsamud yang degil itu tidak
percaya dan tidak berpuas hati dengan dakwah Nabi Saleh. Mereka tidak mengaku
bahawa Nabi Saleh adalah seorang nabi dan rasul. Mereka telah meminta Nabi
Saleh membuktikan kenabiannya.
"Kalau benarlah kamu
diutuskan untuk menjadi seorang nabi, tunjukkanlah kepada kami satu mukjizat.
Jika tidak, sudah tentu kamu adalah pembohong semata-mata," kata mereka
mencabar Nabi Saleh.
Mereka menambah lagi, "Cuba
kamu keluarkan seekor unta dari batu besar itu," kata mereka sambil
menunjuk ke arah sebuah batu besar sambil tersenyum sinis. Mereka juga telah
menerangkan sifat-sifat unta yang dikehendaki.
Kaum Tsamud cukup yakin bahawa
Nabi Saleh tidak mampu memenuhi permintaan mereka itu. Sebaliknya Nabi Saleh
menjawab dengan tenang.
"Baiklah, sekiranya aku
dapat memenuhi permintaan kamu itu, adakah kamu akan beriman kepada Allah dan
menerima ajaranku? Adakah kamu akan mengaku bahawa aku adalah utusan
Allah?"
"Baiklah, kami akan beriman
kepada Allah dan akan menerima segala ajaran kamu," jawab mereka.
Setelah satu persetujuan
dimeterai, maka Nabi Saleh telah menunaikan solat. Baginda memohon kepada Allah
agar mengkabulkan permintaannya seperti yang dituntut oleh kaum Tsamud. Baginda
juga berdoa semoga kaum itu akan kembali ke jalan yang benar selepas melihat
bukti tersebut.
Allah Maha Berkuasa. Dengan
sekelip mata sahaja Allah telah mengkabulkan doa Nabi Saleh. Batu besar tadi
telah merekah dan terbelah. Lalu keluarlah seekor unta betina yang besar. Unta
itu mempunyai semua sifat yang disebutkan oleh kaum Tsamud.
Maka, tercenganglah semua kaum
Tsamud yang melihat kejadian itu. Sebahagian daripada mereka mula mengakui
kenabian Nabi Saleh. Salah seorang daripada mereka ialah seorang pemimpin kaum
Tsamud yang bernama Junda bin Amru. Akan tetapi, sebahagian yang lain masih
enggan beriman. Mereka tetap degil dan sombong.
Nabi Saleh berasa bimbang akan
keselamatan unta tersebut lalu baginda berpesan kepada kaum Tsamud supaya tidak
mengganggu unta itu. Mereka disuruh membiarkan unta tersebut mencari makanannya
sendiri.
"Ini adalah seekor unta
betina. Ia mempunyai giliran untuk mendapatkan air dan kamu mempunyai giliran
kamu untuk mendapatkan air pada hari tertentu."
Begitulah peraturan yang
diberikan oleh Nabi Saleh kepada kaum Tsamud.
Maka, berkeliaranlah unta itu di
ladang-ladang untuk mencari makanan tanpa ada sebarang gangguan. Apabila sampai
masanya untuk minum, unta itu pergi ke sebuah sumur dan minum dengan sepuas
hati. Pada masa itu tiada haiwan lain yang menghampirinya. Semua haiwan
ternakan lain dan unta tersebut mempunyai giliran masing-masing untuk
mendapatkan makanan dan minuman.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ZqsOU1cQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment