Ad

Wednesday, 12 December 2018

'Tiada apa yang mustahil'

MyMetroArena
Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Sejak kempen Piala Suzuki AFF menyingkap tirainya, penjaga gol Farizal Marlias sentiasa menegaskan betapa dia menaruh kepercayaan tinggi terhadap semua barisan 23 pemain Harimau Malaya dan terus berpegang kepada kata-katanya itu.

Bintang berusia 32 tahun itu percaya walaupun dihimpit masalah kecederaan mahupun penggantungan pemain, namun setiap daripada rakan-sepasukannya mampu beraksi dengan baik apabila diperlukan.

"Untuk saya ketiadaan Aidil (Zafuan Abd Radzak) atau Syahmi (Safari) tidak membawa masalah kerana saya percaya kepada semua rakan sepasukan dan kami juga tidak kisah siapa yang diturunkan atau tidak," kata Farizal.

Aidil terpaksa berehat susulan masalah kecederaan manakala Syahmi pula diketepikan gara-gara dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan ketika skuad negara terikat 2-2 dengan Vietnam dalam aksi final pertama Piala AFF Suzuki, semalam.

Pada masa sama, Farizal yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak menolak ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki pemain negara terutama dari segi penguasaan bola.

"Kami mudah hilang bola, tetapi kami juga berjaya merampasnya secepat mungkin sebaik kehilangannya.

"Ini adalah kesilapan kecil yang mampu menghukum kami, jadi saya berharap kami berjaya mengatasinya, membaiki taktikal permainan dan tidak lagi mengulangi kesilapan sama."

Farizal yang lebih enam kali menyelamatkan gawang negara daripada percubaan berbahaya Vietnam semalam, turut tidak menolak peluang Malaysia untuk menjulang gelaran itu buat kali kedua.

"Tiada apa yang mustahil kerana kami pernah melakukannya. Kami tewas di laman sendiri dan kemudiannya kami memenangi di tempat lawan," kata Farizal merujuk kepada edisi 2014 yang mana Malaysia kecundang 1-2 kepada Vietnam di Stadium Shah Alam sebelum bangkit menewaskan mereka dalam aksi separuh akhir kedua 4-2.

Lagi berita Piala AFF
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 8:27 PM


No comments:

Post a Comment