ARKIB : 21/04/2010
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Makam isteri Nabi Muhammad, Siti
Khadijah Khuwailid di Ma'la yang berhampiran makam anak baginda, iaitu Kassim
yang wafat dalam usia yang masih kecil.
TIADA niat untuk mempolemikkan
status agama bapa saudara Nabi Muhamad SAW, Abu Talib bin Abdul Mutallib yang
dikatakan meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Allah.
Tetapi ada pihak yang masih
bertanyakan mengenai 'kelainan' kisah-kisah sebenar di sebalik kematian Abu
Talib itu.
Ini memerlukan untuk kita
melanjutkan kisah itu dari tulisan al Mubarakfuri dalam bukunya Sirah
Nabawiyyah mengenai peristiwa sejurus bapa saudara baginda itu meninggal dunia.
Rasulullah SAW mungkin begitu
kesal dengan kematian bapa saudaranya itu. Namun yang baginda kesalkan adalah
apabila sehingga di saat kematian bapa saudaranya itu pun, Abu Jahal masih
tidak berputus asa menghalang penyebaran Islam.
Walau bagaimanapun baginda
menerima ketentuan yang seperti ini dan lalu berkata: "Akanku pohonkan
keampunan (dari Allah) untuk mu wahai bapa saudaraku selagi aku tidak dilarang
berbuat demikian".
Lalu Allah turunkan ayat surah
at-Taubah, ayat 113 bagi menjawab persoalan mengenai kematian Abu Talib itu.
Firman Allah yang bermaksud:
Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi
orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata
bagi mereka bahawa orang-orang Musyrik itu adalah ahli neraka.
Begitu juga firman Allah yang
bermaksud: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah
petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi
Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan Dialah jua yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah
petunjuk (kepada memeluk Islam). (al-Qasas: 56)
Kata al Mubarakfuri, kita tidak perlu
menghuraikan tentang perlindungan dan pengawalan yang selama ini diberikan oleh
Abu Talib (kepada Rasulullah).
"Dia adalah kubu yang teguh
memelihara dan dakwah Islamiah daripada serangan-serangan orang yang takbur dan
bodoh.
"Sayangnya dia tetap berpegang
kepada agama nenek moyangnya. Justeru dia tidak mendapat kejayaan yang
sebenar," katanya.
Dalam hadis-hadis riwayat Al
Abbas bin Abdul Mutalib, bahawa dia pernah bertanya kepada anak saudaranya,
baginda Rasulullah mengenai kematian Abu Talib itu.
"Apakah engkau tidak dapat
menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demi
keranamu," tanya Al-Abbas.
Lalu baginda menjawab: "Abu
Talib berada dalam tempat yang paling cetek di neraka (hukuman paling ringan).
Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari
neraka".
Sementara seperti yang
diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudriy, bahawa Al Abbas pernah mendengar baginda
bersabda (mengenai nasib Abu Talib): "Boleh jadi ada gunanya syafaatku
kepadanya pada hari kiamat kelak, di mana dia akan diletakkan dalam tempat yang
cetek dari neraka sehingga sampai ke buku lalinya".
Sementara dalam bukunya, Fiqh
Al-Harakah - Dari Sirah Nabawiyyah (Dewan Pustaka Fajar, 1992) Abdul Hadi Awang
pula menulis bahawa menurut pendapat mazhab syiah dan beberapa orang di
kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bahawa Abu Talib telah menganut Islam
berdasarkan beberapa riwayat yang membuktikan bahawa bapa saudara Nabi itu
bukanlah meninggal dunia dalam keadaan musyrik.
Bahawa Al Abbas (r.a) telah
mendengar Abu Talib pernah berkata: "Sesungguhnya aku telah mengetahui
bahawa agama yang dibawa oleh Muhammad adalah agama yang paling baik (min
khaira adyani) di kalangan agama-agama yang dianut oleh makhluk ini".
Mereka mempertahankan bahawa Abu
Talib telah menerima Islam dengan mengemukakan beberapa alasan yang lain:
1) Abu Talib mengambil sikap
mempertahankan Islam, mempertahankan Rasulullah dan mempertahankan mereka yang
menganut Islam di samping keluarnya ucapan dari mulutnya yang menunjukkan
betapa kasihnya kepada nabi dan para sahabatnya.
2) Abu Talib menyanjung tinggi
segala tuntutan Nabi kepadanya. Tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa
beliau pernah memuja (menyembah) berhala.
3) Diriwayatkan dari Al Abbas
bahawa Abu Talib pernah mengucapkan dua kalimah syahadah. Namun para ulama
hadis menolak riwayat ini hanya kerana Al Abbas pada masa itu belum lagi
memeluk Islam.
Namun bagi mereka yang dapat
menerima riwayat dari Al Abbas ini, cuba mempertahankannya dengan bertanya:
"Adakah berani kita mengatakan Al Abbas, iaitu salah seorang lagi bapa
saudara kesayangan dan dikasihi Nabi itu adalah seorang yang pembohong?"
Hadi Awang kemudiannya menukilkan
pendapat Al Syaikh Muhammad Abu Zahrah (r.a) yang menegaskan: "Bahawa aku
berpendapat Abu Talib bukanlah seorang Musyrik. Ini kerana mereka yang musyrik
itu menyembah berhala. Sedangkan amalan Abu Talib dan termasuk juga kata-kata
dan pendiriannya menunjukkan bahawa beliau berpendapat menyembah berhala itu
suatu kebatilan. Oleh itu aku lebih cenderung beristighfar untuknya".
ADA sesetengah pendapat lain
mengatakan bahawa Abu Talib adalah seorang Muslim apabila jenazahnya
disempurnakan cara Islam.
Dikatakan setelah kering air mata
baginda ekoran kesedihan atas kematian bapa saudaranya itu, dengan suara pilu
lalu baginda menyuruh anak Abu Talib, iaitu Saidina Ali untuk menguruskan
jenazah.
"Mandikanlah, kafanilah dan
kuburkanlah! Semoga Allah mengampuni dan merahmatinya," kata baginda.
Dalam hal ini jika Rasulullah
menyuruh Ali agar memandikan ayahnya bermakna hanya jenazah mereka yang Muslim
sahaja layak diuruskan dengan cara itu.
Pada hal, Islam tidak membolehkan
orang Islam memandikan (jenazah) orang kafir mahupun menguruskan jenazah orang
kafir secara Islam.
Lalu sebagai seorang yang begitu
mempunyai makna dan pengaruh yang sangat besar dalam kehidupan Nabi Muhammad,
apakah hakikat sebenar mengenai status agama Abu Talib ini?
Namun yang jelas, pemergian Abu
Talib sangat meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada diri Rasulullah.
Sehingga dalam nada yang sebak
baginda berkata: "Orang-orang Quraisy tidak pernah meninggalkan sesuatu
yang tidak disukai sedikitpun kepadaku sehinggalah Abu Talib meninggal
(dunia)."
Yang jelas, Abu Talib tidak
sekadar tokoh besar yang sangat dihormati dan dimuliakan oleh lawan dan kawan
terutama di kalangan para pembesar Mekah.
Namun beliau merupakan tokoh yang
tidak sekadar memberi perlindungan kepada seorang Rasul mahupun sekadar bapa
saudara yang membesarkan anak saudaranya tetapi yang jelas tanpanya, Islam itu
sendiri sukar untuk disebarkan.
Tiga hari kemudian iaitu selepas
kematian bapa saudara kesayangan, baginda bagaikan jatuh bertimpa-timpa. Kali
ini isteri kesayangan baginda, Saidatina Siti Khadijah pula menurut jejak Abu
Talib.
Siti Khadijah meninggal dunia di
saat baginda sedang mencari kekuatan baru selepas kematian Abu Talib.
Khadijah wafat pada tanggal 10
atau 11 Ramadan tahun ke 10 kenabian dan dimakamkan di Pemakaman Ma'la di
sebuah kawasan bernama Hujun.
Rasulullah tidak melakukan solat
jenazah terhadap jenazah isterinya itu kerana pada saat itu perintah untuk
solat jenazah belum disyariatkan.
Namun baginda sendiri turun ke
dalam makam untuk menguruskan persemadian terakhir Khadijah. Baginda juga
menimbunkan tanah pada makam Khadijah.
Pada tahun 950 H, sebuah bangunan
berkubah didirikan di atas makam Khadijah yang kemudiannya dibaik pulih semula
pada tahun 1298H.
Namun pada hari ini, semua itu
tiada lagi. Kubah dan bangunan itu telah dirobohkan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5a7vzJ8Yu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment