ARKIB : 11/06/2010
SEMASA meninggalkan Babylon, Nabi
Ibrahim telah berhenti di sebuah tempat yang dinamakan Haran.
Penduduk Haran keseluruhannya
menyembah bintang-bintang. Jelas, sekali lagi Nabi Ibrahim berhadapan dengan
masyarakat yang berada dalam kesesatan.
Namun, Nabi Ibrahim tidak
menyampaikan dakwah kepada mereka secara nyata. Baginda merancang dengan teliti
supaya mereka dapat menerima ajaran yang dibawanya.
Pada mulanya Nabi Ibrahim
berpura-pura mengamalkan ajaran yang sama seperti mereka.
Baginda bergaul seperti biasa
bersama-sama dengan penduduk supaya kehadirannya sebaik mungkin.
Saban hari baginda duduk
bercakap-cakap sambil menyampaikan ajaran yang dibawanya secara tidak langsung.
Dengan cara itu baginda dalam
melihat tindak balas dan penerimaan penduduk terbabit.
Pada suatu hari, ketika duduk
bersama mereka, Nabi Ibrahim telah menunjukkan ke arah sebutir bintang yang
berada di langit. Baginda pun berkata: "Oh, inilah Tuhanku."
Tetapi apabila bintang itu hilang
daripada pandangan, baginda pun berkata lagi: "Aku tidak menyukai Tuhan
yang berubah-ubah dan timbul tenggelam di angkasa."
Keesokan harinya Nabi Ibrahim pun
duduk lagi bersama dengan penduduk Palestin.
Apabila terbit sahaja matahari,
Nabi Ibrahim pun berkata lagi: "Inilah Tuhanku kerana ia lebih besar
daripada yang lain dan cahayanya lebih terang. Inilah yang patut aku
sembah."
Apabila hari menjelang petang,
matahari itu pun mulai terbenam. Melihat sahaja matahari terbenam, Nabi Ibrahim
pun berkata kepada penduduk Palestin: "Sesungguhnya kamu telah tersesat
dan terpengaruh oleh ajakan Iblis dengan penyembahanmu kepada bintang-bintang iaitu
makhluk yang diciptakan oleh Tuhan yang Maha Kuasa.
"Sepatutnya Dialah yang kamu
sembah dan bukan bintang-bintang ciptaan-Nya itu.
"Aku bebas daripada sembahan
kepada Tuhan-tuhan kamu itu. Aku hanya menyembah kepada Tuhan yang menciptakan
langit dan bumi. Kepada-Nya aku beribadat dengan hati yang tulus ikhlas. Hanya
Dia Tuhan yang aku sembah. Tidak ada Tuhan lain selain daripada-Nya.
Sesungguhnya aku bukan tergolong dalam golongan yang musyrik."
Penduduk Palestin amat terkejut
apabila mendengar kata-kata Nabi Ibrahim itu. Mereka mendapati Tuhan Nabi
Ibrahim berbeza dengan tuhan mereka. Mereka berasakan Nabi Ibrahim telah
tersesat dan perlu dikembalikan ke pangkal jalan. Nabi Ibrahim menolak ajakan
mereka itu. Apabila baginda menolak ajakan tersebut, mereka pun mengajak
baginda berdialog. Mereka berasakan bahawa merekalah yang benar.
Walau bagaimanapun, Nabi Ibrahim
menolak ajakan mereka itu dengan berkata: "Kamu ingin berdialog denganku
tentang ketuhanan kerana kamu berharap agar dapat mendorongku mengikut kamu
menyembah yang batil dan sesat itu.
"Janganlah terlalu berharap.
Harapan kamu akan sia-sia belaka. Tidak ada gunanya mengajak aku berdialog
dengan kamu kerana Allah telah menunjukkan jalan yang benar dan akidah yang
hak, sesuai dengan fitrah dan martabat manusia sebagai makhluk Tuhan yang
utama."
Oleh yang demikian, mereka ternyata
tidak berjaya untuk memesongkan akidah Nabi Ibrahim. Baginda tetap berpegang
teguh dan beriman hanya kepada Tuhan yang Esa.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aEM6FHeG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment