Singa Utara kembalikan ‘hiburan’ rakyat Perlis
BARISAN pemain Perlis bergambar sebelum sepak mula perlawanan persahabatan menentang Kedah di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis baru-baru ini.-UTUSAN ONLINE
Mohd. Hafiz Abd. Mutalib
24 Disember 2018 10:20 AM
LEWAT 1990-an sehingga 2010, Perlis adalah antara pasukan bola sepak Perlis adalah antara yang digeruni ramai.
Ini kerana negeri itu merupakan antara pasukan gergasi bola sepak negara dan pernah memenangi pelbagai kejuaraan seperti Piala Malaysia pada 2004, 2006 dan Liga Super pada 2005.
Era selepas milenia, penyokong menyaksikan kehebatan Singa Utara yang menjadi ‘giant-killer’ yang merobek ego pasukan besar di Malaysia.
Nama-nama seperti Phillimon Chipeta; Zacharia Simukonda; Yusri Che Lah: Adrien Jurad Chamrong; Manzoor Azwira Abdul Wahid dan Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein sering menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air.
Pada masa itu, di kedai-kedai kopi, kampung-kampung atau di mana-mana sahaja di Perlis, orang ramai bercerita mengenai Singa Utara.
Bagi mereka, bola sepak adalah ‘hiburan’, malah menanti setiap perlawanan melibatkan Perlis di Stadium Utama Kangar (kini Stadium Tuanku Syed Putra) khususnya pada hujung minggu.
Stadium ketika itu gamat dengan laungan Singa Utara malah setiap kali Perlis berjaya menjejak kaki ke perlawanan akhir, jalan-jalan raya di negeri ini lengang kerana kebanyakan penyokong menyerbu Kuala Lumpur selain tidak berganjak di hadapan televisyen di rumah masing-masing.
Setelah mengecapi pelbagai kejayaan dalam saingan Liga Malaysia, Perlis tiba-tiba berubah dan mengalami kemerosotan yang teruk.
Pada musim 2011, Perlis tersingkir ke Liga Perdana untuk musim 2012 dan pernah terperosok ke Liga FAM pada 2015.
Perlis menghadapi musim-musim suram selain terpalit dengan pelbagai masalah khususnya melibatkan isu tunggakan gaji.
Lebih malang, ia berlarutan sejak sedekad apabila keadaan bola sepak negeri ini tidak pernah berubah. Tiada mana-mana pihak pada masa itu sudi tampil untuk membantu Singa Utara.
Sehinggakan ada yang menyuruh pasukan bola sepak itu dibubarkan kerana sering kali dibelenggu masalah dan hutang yang serius.
Ketika nama Perlis hampir lenyap dari peta bola sepak Malaysia, muncul pula seorang ahli perniagaan, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie pada Oktober lalu yang mengambil alih kerusi panas sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Dalam tempoh tidak sampai dua bulan ini, usahawan muda tersebut tidak lagi menoleh ke belakang dalam usaha mentranformasikan kembali sukan bola sepak di negeri ini.
Ahmad Amizal tidak ‘lokek’ berbelanja dalam membawa pemain-pemain bintang memperkuatkan Perlis bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Antara pemain bintang yang sudah mengesahkan untuk bersama Perlis bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim depan ialah Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; Khyril Muhymeen; Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin selain sedang berusaha mendapatkan bintang sensasi kebangsaan, Akhyar Rashid.
Rakyat negeri ini, nyata teruja dengan perubahan yang cuba dilakukan itu kerana selepas sekian lama mereka begitu rindu untuk melihat Perlis kembali menjadi pasukan yang digeruni.
Begitulah tingginya harapan penyokong untuk melihat Perlis kembali menjadi pasukan hebat di dalam Liga Malaysia. Sudah agak lama mereka menanti dan merindui untuk kembali mengegarkan stadium Kangar.
Kepada PFA, pulangkanlah kembali ‘hiburan’ kepada rakyat Perlis. Buatlah bersungguh-sungguh dalam mengembalikan zaman kegemilangan skuad Singa Utara.
Percayalah, suasana di Perlis akan kembali meriah apabila pasukan bola sepak negerinya semakin kuat. - UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/singa-utara-kembalikan-8216-hiburan-8217-rakyat-perlis-1.810027#ixzz5aaDcUGV7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment