ARKIB : 15/02/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
pedang-pedang milik empat sahabat
besar Rasulullah dengan pedang milik Saidina Umar bertatah batu-batu permata
bersarung warna merah darah.
SEBELUM memeluk Islam, seperti
yang disebut sebelum ini Saidina Umar Al Khattab bersikap keras dan kejam
terhadap Islam. Beliau tidak pernah berlembut terhadap pengikut-pengikut agama
itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau mula merasakan kesayuan apabila
mendengar ada di kalangan pengikut Islam yang hendak berhijrah ke Habsyah itu
terdiri daripada para sahabat dan saudara maranya sendiri.
Peristiwa ini ditunjukkan pada
suatu malam, apabila beliau terserempak dengan salah seorang sahabat Nabi
Muhammad, iaitu Ummu Abdullah yang keluar dari rumah dan sedang menuju untuk
bertemu dengan anaknya untuk sama-sama melarikan diri ke Habsyah.
Umar bertanya: "Ke mana kamu
hendak pergi wahai Ummu Abdullah?"
"Kamu seksa kami, kamu
ganggu kami, kamu tidak mahu lagi kepada kami, biarlah kami keluar dari Mekah.
Kamu tidak rugi apa-apa kalau kamu biarkan aku keluar dari Mekah ini,"
jawab Ummu Abdullah.
Lalu Umar pun berkata:
"Kalau begitu, ini perpisahan antara kita wahai Ummu Abdullah. Semoga
keselamatan menyertai perjalanan kamu."
Kebetulan Umar dan Ummu Abdullah
mempunyai hubungan persaudaraan maka beliau tidak menyekat saudaranya itu
meninggalkan Mekah.
Inilah kali pertama Umar
berlembut yang menyebabkan Ummu Abdullah sendiri terkejut kerana sebelum ini
Umarlah orang yang paling keras terhadap Islam. Umar pernah menyeksa dengan
begitu azab terhadap seorang hamba perempuan daripada Suku Muammilah. Walaupun
Umar bukan daripada suku tersebut tetapi kerana tidak berpuas hati terhadap
Islam, beliau sanggup menawarkan diri untuk menyeksa hamba itu. Lalu di
pukulnya hamba itu sehingga beliau sendiri jemu.
Apabila Ummu Abdullah bertemu
anaknya, Abdullah lalu diceritakan pertemuannya dengan Umar yang menyebabkan si
anak kehairanan.
"Bagaimana ibu boleh
melepaskan diri daripada Umar?" Tanya Abdullah.
"Itulah yang berlaku, Maha
Besar Allah. Bukan sahaja dilepaskan aku, bahkan didoakan untuk keselamatan
kita dalam perjalanan ini kelak," kata Ummu Abdullah.
"Mungkin kerana ibu sangat
berharap agar Umar memeluk Islam" kata Abdullah.
"Benar, demi Allah, aku
berharap sangat Umar menerima dan memeluk Islam," kata si ibu.
Namun si anak berkata:
"Wahai ibu, demi Allah, Umar tidak akan mengucap dua kalimah syahadah
selagi keldainya sendiri tidak mengucap dulu. Mustahil bagi Umar untuk memeluk
Islam!"
Memang benar pada masa itu
seperti yang dikenali, Umar yang keras hati dan kepala ini tidak akan
sekali-kali tunduk terhadap Islam. Beliau berlembut terhadap Ummu Abdullah atas
dasar hubungan darah sahaja. Apabila pulang semula ke rumah, dia mula berfikir
bagaimana boleh berlaku semua 'bencana' ini, pecah-belah di kalangan Quraisy
dan penduduk Mekah, amnya. Apabila orang mula sanggup meninggalkan Mekah,
Siapakah punca semua ini berlaku?
Setelah puas berfikir, akhirnya
Umar percaya bahawa Nabi Muhammad yang menjadi punca semua itu.
Lalu dia bertekad untuk terus
membunuh Nabi Muhammad supaya selesai semua masalah dan penduduk Mekah kembali
bersatu atas nama agama nenek moyang yang dipertahankan selama ini. Dia terus
menyarungkan pedang keluar menuju mencari baginda Rasulullah SAW.
Namun sebelum itu, adakah Umar
tidak pernah bersemuka sendiri dengan Rasulullah? Atau sekurang-kurangnya
berada hampir dengan baginda?
Dalam setengah riwayat yang lain,
di kisah pada suatu malam Umar keluar dari rumahnya menuju ke Kaabah.
Ketika itu juga dikatakan baginda
Rasulullah turut berada di situ untuk mendirikan solat sambil membacakan ayat-ayat
al-Quran daripada surah al-Haqqah.
Umar terus memasang telinga untuk
mendengarkan apa yang dibaca oleh Nabi Muhammad dan dikatakan Umar terus merasa
takjub dengan susunan gaya bahasa ayat-ayat yang dibaca oleh Rasulullah itu.
Lebih-lebih lagi apabila dibacakan di tengah-tengah malam sunyi, maka bacaan
itu begitu mudah menusuk ke dalam hatinya.
Lalu Umar berkata: "Aku
berkata pada diriku sendiri pada masa itu bahawa demi Allah bahawa Muhammad ini
merupakan seorang penyair sebagaimana yang diperkatakan oleh orang ramai."
Namun dengan takdir Allah, bacaan
baginda sampai kepada ayat yang bermaksud berikut: Bahawa sesungguhnya al-Quran
ialah wahyu daripada Kami yang disampaikan oleh seorang Rasul yang mulia. Dan
bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan
tetapi sayang amatlah sedikit kamu beriman. (al-Haqqah: 40 - 41)
Lalu Umar yang terkejut kepada
ayat-ayat yang seperti ditujukan kepadanya itu menganggap pula Nabi Muhammad
itu sebenarnya seorang pawang. Ini kerana hanya pawang sahaja yang tahu apa
yang bermain dalam fikiran seseorang dan apa yang berlaku di sekelilingnya.
Namun Umar bertambah terkejut
apabila mendengarkan ayat-ayat seterusnya yang dibacakan oleh Nabi Muhammad.
Dan juga bukanlah al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu
katakan). Tetapi sayang amatlah sedikit kamu mengambil peringatan (al-Quran
itu) diturunkan Allah, tuhan sekalian alam. (al-Haqqah: 42-43)
Sehinggalah Nabi Muhammad membaca
surah itu sehingga ayat terakhir, Umar mengakui bahawa ada cahaya dari Islam
itu mula menyerap dalam dirinya.
Begitupun akibat terlalu taksub,
cahaya yang telah menyerap masuk itu masih tidak memberikan apa-apa makna yang
besar terhadap Umar. Beliau tetap untuk mempertahankan agama nenek moyangnya
itu dan tetap meneruskan niat untuk membunuh Nabi Muhammad walaupun baginda
telah 'menjelaskan' siapa dirinya sebagaimana yang didengar sendiri pada malam
itu.
Di pertengahan jalan untuk
mencari Nabi Muhammad itu, Umar telah ditegur oleh lelaki daripada Bani Zuhrah
atau Makhzum, yang bernama Nu'aym bin Abdullah. Nu'aym dikatakan telah memeluk
Islam tetapi disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa terutamanya Umar bagi
mengelakkan daripada sebarang kesusahan kepada dirinya.
Apabila beliau melihat Umar dalam
berpakaian seperti hendak berperang dan lengkap bersenjata dan muka yang jelas
seperti dalam keadaan marah, lalu dia memberanikan diri menegur Umar.
"Kamu hendak ke mana wahai
Umar," tanya Nu'aym.
"Aku mahu pergi membunuh
orang yang memecahbelahkan kaumku dan menghina datuk nenekku.
"Maksudku, aku ingin
membunuh si Muhammad!" tegas Umar.
Nu'aym begitu cemas mendengarkan
jawapan Umar itu kerana ia benar-benar satu petanda buruk kerana mengenali Umar
selama ini, tidak mustahil dia akan melakukan apa sahaja, hatta membunuh orang
sekalipun.
"Wahai Umar, adakah kamu
rasa kamu boleh terlepas daripada suku Abdul Mutalib kalau kamu membunuh
Muhammad?" Tanya Nu'aym.
Umar menjawab dengan tegas:
"Walaupun aku akan dibunuh oleh suku Abdul Mutalib, aku tidak
peduli."
Ini membuatkan Nu'aym perlu
melengah-lengahkan Umar atau perlu menggagalkan sahaja rancangan Umar untuk
membunuh Rasulullah.
Namun tugas ini tentunya tidak
mudah namun Nu'aym tidak ada cara dan jalan lain, kecuali terpaksa mendedahkan
satu rahsia yang selama ini tersimpan baik.
"Kalau begitu kamu mulakan
dulu dengan keluarga kamu, kerana itu adalah lebih baik!"
Umar pun bertanya: "Siapakah
yang kamu maksudkan?"
"Adik perempuan kamu,
Fatimah!" kata Nu'aym dengan penuh rasa bersalah.
Umar begitu terkejut mendengarkan
adiknya sendiri sanggup membelakangkannya yang selama ini begitu anti terhadap
Islam.
Lalu tanpa membuang masa, Umar
menukarkan langkahnya menuju ke rumah Fatimah. Hasrat untuk membunuh Nabi
Muhammad itu ditangguhkan terlebih dahulu.
Fatimah dan suaminya, Saad bin
Zaid merupakan antara yang terawal memeluk Islam tanpa diketahui oleh Umar.
Di saat Umar sedang menuju ke
rumahnya itu, Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran daripada
seorang lagi sahabat yang telah mahir mengenai kalam-kalam Allah itu, iaitu
Khabbab bin Arat.
Malangnya, suara mereka
membacakan ayat-ayat suci al-Quran sebenarnya telah didengari oleh Umar.
Umar semakin panas hati
mendengarkan itu semua, tanpa membuang masa beliau terus mengetuk pintu rumah
Fatimah dengan kuat!
Ikuti seterusnya pada keluaran
akan datang.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5ZqjRFb6R
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment