ARKIB : 09/03/2010
HAWWA binti Yazid adalah wanita
yang awal memeluk Islam. Dia anak saudara Saad bin Muaz. Dia berkahwin dengan
Qais bin al-Khatim al-Aus. Mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Yazid
dan Sabit.
Hawwa adalah seorang wanita yang
tabah dan sabar. Suaminya seorang penyair yang sangat terkenal. Semasa Hawwa
memeluk agama Islam, suaminya masih menganut agama nenek moyangnya. Berita
keislaman Hawwa sampai ke pengetahuan suaminya.
"Saya tidak suka awak
menganut agama Islam. Berani awak mempermainkan agama nenek moyang kita,"
kata suaminya.
Hawwa dengan tegas berkata:
"Saya sudah bertekad dengan agama Islam. Allah adalah tuhan saya. Allah
Yang Maha Esa. Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh
Allah".
"Berani awak melawan cakap
saya," kata Qais dengan nada tinggi lalu menampar muka isterinya.
"Biar apa pun yang awak
lakukan terhadap saya, saya tidak takut dan gentar," jelas isterinya yang
kesakitan menahan tamparan di pipinya.
Sejak Hawwa memeluk agama Islam,
suaminya sering menyiksa dan menyakitinya. Anak-anaknya juga masuk Islam. Yazid
dan Sabit merupakan sahabat Nabi Muhammad. Yazid pernah menyertai Perang Uhud.
Berita penyiksaan Hawwa oleh
suaminya telah sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.
"Wahai Nabi Muhammad, saya
dengar Qais bin al-Khatim menyiksa isterinya, Hawwa yang sudah memeluk agama
Islam. Dia kini tinggal di Madinah," kata seorang lelaki kepada Nabi
Muhammad.
Pada ketika itu Nabi Muhammad
masih berada di Mekah. Nabi Muhammad belum berhijrah ke Madinah. Sejak Islam
bertapak di Madinah, ramai penduduk yang tertarik dan masuk Islam.
Mendengar berita penyiksaan
Hawwa, Nabi Muhammad berasa simpati lalu berkata: "Saya akan bantu dan
menyelamatkan Hawwa dari terus diseksa oleh suaminya".
Pada suatu hari, Qais berjumpa
dengan Nabi Muhammad di sebuah pasar iaitu Dzi al-Majaz yang terdapat di Mekah.
Pasar itu merupakan pasar orang Arab yang sangat terkenal pada zaman jahiliah.
"Apa khabar Qais,"
tanya Nabi Muhammad.
"Saya sihat sejahtera,"
jawab Qais.
Lalu Nabi Muhammad berkata lagi:
"Wahai Qais, saya menyeru awak supaya ikut jejak langkah isteri awak
memeluk agama Islam".
"Maafkan saya. Pelawaan tuan
itu bagus tetapi saya tidak berniat menukar agama. Saya tidak berminat untuk
memeluk agama Islam. Tambahan pula pada masa sekarang ini saya sibuk dengan
perang," kata Qais.
Pada masa itu telah berlaku
perang saudara antara kabilah Aus dan Khazraj. Perang tersebut hampir
memusnahkan kedua-dua belah pihak. Akhirnya perang tersebut tamat di Bu'ats yang
terletak berhampiran dengan kota Madinah.
Berkali-kali Nabi Muhammad
mengajak Qais memeluk Islam. Qais tetap dengan pendiriannya dengan menolak
ajakan Nabi Muhammad.
Sebentar kemudian, Nabi Muhammad
berkata pula, "Wahai Qais, saya telah menerima khabar bahawa awak sering
menyiksa dan menyakiti isteri awak. Sejak isteri awak masuk Islam, awak layan
dia dengan kejam. Kasihanilah kepada isteri awak. Takutlah kepada Allah. Jaga
isteri awak baik-baik. Jangan awak sakitinya lagi. Saya berharap awak dapat
berbuat baik terhadapnya".
Qais tersentuh hatinya apabila
mendengar kata-kata Nabi Muhammad. Kemudian dia berkata, "Baik, sebagai
menghormati awak saya berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti isteri saya
lagi".
Qais pulang ke Madinah dan
berjumpa dengan isterinya. Lalu dia berkata: "Semasa saya berada di Mekah
saya telah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Saya telah berjanji tidak akan
menyeksa dan menyakiti awak lagi".
Hawwa gembira lalu bertanya:
"Benarkah?"
"Ya. Mulai pada hari ini
saya tidak akan mengganggu urusan awak," jelas Qais lagi.
"Terima kasih Muhammad
kerana membantu saya menyedarkan suami saya akan perbuatan kejamnya terhadap
saya. Terima kasih ya Allah kerana telah membuka hati suami saya. Selepas ini
saya akan lebih tenang melakukan ibadah kepada-Mu," bisik Hawwa sendirian.
Hawwa gembira kerana dapat
melakukan amal ibadah dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari suaminya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5a2AAuceJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment