Ad

Sunday, 30 December 2018

Akhyar tak penat layan Piala AFF

MyMetroArenaAziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
KUALA LUMPUR: Penyerang muda Akhyar Rashid percaya dia boleh kembali ke tahap terbaik untuk membantu Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF yang akan disingkap tirainya minggu depan meskipun kudratnya diperah habis-habisan sepanjang musim ini.

Selain beraksi bersama Kedah dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M), pemain berusia 19 tahun itu turut beraksi bersama skuad bawah 23 (B-23) tahun pada Kejohanan AFC di China Januari lalu, Sukan Asia di Jakarta (Ogos), Kejohanan AFF B-19 di Indonesia (Julai), Kejohanan AFC B-19 di Indonesia (Oktober) serta beberapa perlawanan bersama skuad senior tahun ini.

Selepas selesai tugasan bersama skuad B-19, Akhyar kini kembali menyertai skuad Harimau Malaya dan mula menjalani latihan Rabu lalu.

"Saya baru memulakan latihan dengan skuad kebangsaan kerana sebelum ini saya diberi cuti selepas selesai Kejohanan AFC di Indonesia. Saya harap dapat beri persembahan terbaik untuk pasukan," katanya.

Ketika saingan Kejohanan AFC di Indonesia, Akhyar berdepan dengan masalah kecergasan sehingga tidak berada dalam kesebelasan utama dalam perlawanan awal.

Pemain kelahiran Alor Setar ini mengakui mengalami sedikit kekejangan otot namun percaya masalah itu dapat diatasi dengan rehat yang cukup.

"Kadang-kadang saya alami kejang otot, namun apa yang penting saya kena cukup rehat dan kena buat lebih latihan kecergasan bagi kempen Piala AFF nanti," kata Akhyar.

Akhyar yang menjaringkan gol pertama dalam penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan ketika menentang Mongolia pada 22 Mac lalu pada aksi persahabatan bakal berdepan ujian terakhir menentang Maldives Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum mengharungi kempen Piala AFF menentang Kemboja di laman lawan, Khamis depan.

Bagaimanapun dia perlu bersaing hebat untuk berada dalam kesebelasan utama bersama pemain senior lain seperti Syazwan Zainon, Norshahrul Idlan Talaha dan Syazwan Andik.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 5:51 PM

No comments:

Post a Comment