ARKIB : 15/04/2010
PADA zaman Nabi Sulaiman,
semut-semut hidup dengan aman dan damai. Mereka saling tolong-menolong di
antara satu sama lain. Setiap pergerakan mereka mesti bersama dan berkumpulan.
Sekiranya salah seekor sahaja daripada mereka menjumpai makanan, mereka tetap
akan makan bersama. Begitulah kehidupan mereka setiap hari.
"Assalamualaikum
tuanku," kata salah seekor daripada pahlawan semut.
"Waalaikummussalam,"
jawab Permaisuri Semut.
"Kenapa kamu datang ke sini
dengan tergesa-gesa?" tanya Raja Semut.
"Sebenarnya aku mendapat
khabar berita bahawa Nabi Sulaiman bersama bala tenteranya menuju ke negara
kita. Apa yang harus kita buat, tuanku?" tanya pahlawan semut.
Permaisuri Semut itu risau
sekiranya angkatan tentera Nabi Sulaiman yang ramai dan besar memijak rakyatnya
yang kecil itu. Lalu ia mencari jalan untuk menyelamatkan mereka.
Tanpa membuang masa, Permaisuri
Semut memanggil pahlawan-pahlawannya untuk membincangkan hal itu. Semut-semut
itu berasa hairan melihat Permaisuri Semut kerisauan.
"Beta mendapat khabar bahawa
Nabi Sulaiman bersama angkatan tenteranya sedang menuju ke negara kita. Apakah
yang patut kita buat demi menyelamatkan negara dan rakyat kita daripada
dimusnahkan?" tanya Permaisuri Semut.
"Pada pendapat patik, lebih
selamat sekiranya kita arahkan semua semut-semut masuk ke dalam sarang. Patik
risau semut-semut ini akan dipijak oleh angkatan tentera Nabi Sulaiman,"
sahut salah seekor daripada menteri semut.
Maka Permaisuri Semut bersetuju
dengan cadangan daripada menterinya itu.
Apabila angkatan tentera Nabi
Sulaiman sampai ke lembah semut, maka Permaisuri Semut berkata kepada
rakyatnya, "Hai semut-semut sekalian! Masuklah kamu ke dalam sarang
masing-masing, supaya kamu tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman bersama angkatan
tenteranya. Mereka tidak menyedari bahawa mereka membawa bencana kepada
kamu," kata Permaisuri Semut.
Ketika itu Nabi Sulaiman bersama
angkatan tentera baginda telah berada di situ. Nabi Sulaiman memandang ke arah
Permaisuri Semut sambil tersenyum.
"Janganlah kamu takut dan
bimbang, angkatan tenteraku tidak akan merosakkan dan memijak lembahmu
ini," kata Nabi Sulaiman.
Nabi Sulaiman terus sujud tanda
bersyukur kerana Allah telah mengurniakan kepada baginda kebolehan memahami
bahasa binatang. Baginda juga berdoa kepada Allah, supaya diberi ilham untuk
mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan kepada baginda dan ibu bapa baginda.
Nabi Sulaiman juga memohon supaya
Allah menempatkan baginda di kalangan orang yang beriman.
Lalu baginda mengarahkan angkatan
tenteranya melalui jalan yang lain. Nabi Sulaiman bimbang akan terpijak
semut-semut di situ. Akhirnya semut-semut itu selamat daripada dipijak oleh
Nabi Sulaiman dan angkatan tenteranya.
lPetikan daripada buku 366 Kisah
daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5a7rWfBYP
© Utusan Melayu (M)
No comments:
Post a Comment