ARKIB : 07/07/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Ini membawa kepada Perjanjian
Aqabah Ula (Pertama) yang menyaksikan 12 daripada suku kaum Aus dan Khazraj
datang daripada jauh menemui Nabi SAW untuk berbaiah.
Walaupun baginda telah beratus
tahun meninggalkan kita namun kita juga boleh berbaiah atas perkara yang sama.
Sebagai pengikut, adalah menjadi tanggungjawab kita mematuhi apa juga saranan
baginda.
Baiah kita seperti berjanji untuk
tidak mensyirikkan Allah dengan apa juga bentuk kuasa yang lain. Malah kalau
kita benar-benar menghayati kepentingan berbaiah itu untuk tidak melakukan zina
misalnya, tentulah pada hari ini, gejala itu tidak berleluasa.
Selepas setahun Perjanjian Aqabah
yang pertama itu, datang pula 70 Muslim (ada sesetengah menyebutnya seramai 75
orang dan beberapa orang yang masih musyrik) dari Yathrib berbaiah dengan
baginda.
Baiah kali ini lebih besar, sehingga
ia dikenali sebagai Baiah Aqabah Al Kubra.
Disebabkan jumlah lebih besar,
maka Rasulullah perlu lebih berhati-hati kerana bimbang perkara itu akan sampai
ke pengetahuan kafir Quraisy Mekah.
Mereka tidak boleh mendengar
mana-mana pihak yang cuba untuk berada di belakang baginda kerana semua itu
menunjukkan Nabi SAW semakin berpengaruh yang boleh melemahkan kedudukan dan
kekuasaan mereka.
Lalu perjanjian yang berlangsung
pada musim haji tahun 622 M adalah dalam suasana yang sangat rahsia, iaitu
lewat malam pada pertengahan hari-hari tasyrik (iaitu tiga hari berturut-turut
setelah hari raya korban) di suatu lorong Aqabah, tempat terletaknya Jamrah al
Ula di Mina.
(Namun, menurut Haekal,
perjanjian itu sebagaimana yang pertama berlaku di atas bukit Aqabah yang
menyebabkan mereka perlu bersusah payah untuk mendaki)
Salah seorang daripada pemimpin
Ansar, Kaab bin Malik al Ansari menukilkan kata-kata mengenai suasana ketika
itu: "Kami keluar dari Yathrib untuk menunaikan ibadat haji di Mekah dan
kami berjanji bertemu Rasulullah SAW di Aqabah pada pertengahan hari-hari
Tasyrik.
"Maka pada malam itu kami
tidur bersama kaum kami di tempat persinggahan kami. Sehingga apabila berlalu
sepertiga malam. Kami pun keluar untuk memenuhi janji dengan baginda Rasulullah.
Kami keluar secara diam-diam sehingga kami semua dapat berkumpul di satu lorong
di Aqabah.
"Jumlah kami adalah 70
lelaki dan dua wanita turut serta iaitu Nusaybah binti Kaab, iaitu lebih
dikenali sebagai Ummu Ammarah dari Bani Mazin bin An Najjar dan Asma' binti
Amru atau lebih dikenali sebagai Ummu Mani dari Bani Salamah."
Menurut Kaab lagi, mereka
berkumpul di lorong menantikan kehadiran baginda yang kemudiannya hadir
bersama-sama dengan bapa saudara baginda iaitu al Abbas bin Abdul Mutallib.
Namun dikatakan pada masa itu
bapa saudara Nabi itu belum lagi memeluk Islam, tetapi sudah menjadi
tanggungjawabnya bagi memastikan keselamatan anak saudaranya itu maka Abbas pun
turut bersama Nabi SAW dalam menjayakan perjanjian yang sangat besar ertinya
itu.
Malah beliau juga yang membuka
kata alu-aluan sebelum masing-masing bersetuju untuk berbaiah.
Ini kerana Abbas perlu
menerangkan kepada mereka betapa seriusnya tanggungjawab yang terpikul di bahu
mereka apabila bersetuju mengikat perjanjian ini.
"Wahai sekelian orang Ansar
(iaitu panggilan untuk kedua-dua suku Arab Aus dan Khazraj dari Yathrib) anak
saudaraku ini tetap hendak memilih untuk bersama kamu. Oleh itu kalau kamu
memang benar hendaklah kamu menunaikan apa yang diajaknya kepada kamu dan kamu
memang benar-benar dan sanggup mempertahankannya daripada mereka yang
menentangnya," kata Abbas.
Mewakili kaum Ansar, Kaab pun
bersetuju dengan kata-kata Abbas itu dan meminta Rasulullah menyampaikan
butir-butir perjanjian untuk mereka berbaiah selepas itu.
Lalu apakah isi perjanjian itu
kali ini?
Menurut riwayat Al Imam Ahmad;
"Dari Jabir R.A, lalu kami
bertanya: Wahai Rasulullah, di atas dasar apakah kami berbaiah?" Sabda
Nabi SAW: Di atas dasar mesti dengar dan taat sama ada di masa cergas mahupun
malas, di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran.
"Di atas dasar bangun kerana
menegakkan agama Allah, di dalam menegakkan agama Allah itu, tidak mengira
celaan orang yang mencelanya dan di atas dasar memberi pertolongan kepadaku
apabila aku tiba kepadamu, kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan
diri kamu dan anak-anak kamu, jika kamu melakukan itu, nescaya diberikan untuk
kamu syurga."
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aVypEyGW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment