Pasukan Kedah harus akur kehilangan Akhyar kepada JDT
Mohamad Firdaus Abdullah
01 Januari 2019 3:00 AM
PERPINDAHAN Akhyar ke JDT tidak menjadi isu sekiranya KFA memasukkan klausa
perpindahan pemain dalam kontrak penyerang muda tersebut.
KEMELUT perpindahan Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Johor Darul Ta’zim
(JDT) sepatutnya tidak berlaku sekiranya Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA)
bertindak meletakkan klausa perpindahan pemain dalam kontrak kepada bintang
muda tersebut lebih awal.
Klausa tersebut turut mampu mengelak sekiranya berlaku sebarang tapping up
oleh mana-mana pasukan yang cuba menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan
pemain yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan lain.
Peguam Undang-Undang Sukan dari Firma Fahmi Zhafri Ashraf & Co, Zhafri
Aminurashid berkata, sejak awal lagi KFA perlu peka terhadap perkembangan
Akhyar jika mereka enggan berdepan situasi yang sedang berlaku sekarang.
“KFA seharusnya meletakkan klausa pelepasan pemain dalam kontrak Akhyar
lebih awal lagi untuk mengelakkan berlakunya masalah ini setelah menyedari
perkembangan bintang Harimau Malaya tersebut semakin meningkat.
“Ketiadaan klausa itu sebenarnya membolehkan berlakunya tapping up terhadap
pemain bola sepak dan KFA perlu tahu memandangkan perkara itu (klausa
perpindahan pemain) telah diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) sejak 2017.
“Dalam hal ini, KFA sebagai ahli gabungan FAM perlu menyelesaikan masalah
itu dengan semangat kekeluargaan bersama badan induk bola sepak negara demi
memastikan pemain tidak menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo!
semalam.
Sebagai rekod, bintang muda negara itu akhirnya menyertai pasukan JDT seperti
dijangka apabila Pengarah Sukan JDT, Martin Prest mengesahkan skuad Harimau
Selatan telah mengikat kontrak selama empat tahun dengan pemain itu Sabtu lalu.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain
berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar sebanyak RM210,000 bagi menebus baki
kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain, manakala pasukan
baharunya harus membayar RM75,000 kepada KFA sebagai yuran pembangunan bakat.
Bagaimanapun, Prest mengesahkan JDT sedia membayar RM100,000 yuran
pembangunan bakat itu sebagai tanda hormat kepada pasukan Kedah meskipun
mereka sepatutnya hanya perlu memberikan RM75,000 sebagai pampasan kepada KFA.
Zhafri menambah, dalam bola sepak moden, peraturan Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) secara jelas menegah sebarang jenis bentuk penghambaan
pemain dan mereka berhak menamatkan kontrak lebih awal dengan syarat perlu
membayar baki kontrak untuk dilepaskan oleh pasukan semasa.
Justeru katanya, KFA sebenarnya beruntung apabila pengiraan ganti rugi yang
dilakukan FAM memberikan banyak keuntungan kepada bekas pasukan Akhyar.
“Pengiraan ganti rugi yang dibuat FAM itu juga adalah lebih banyak daripada
jumlah yang sepatutnya diterima oleh KFA jika merujuk Artikel Annexe 4 & 5,
Peraturan Status & Perpindahan Pemain.
“Jumlah ganti rugi tersebut juga boleh mengurangkan berlakunya masalah
tapping up pemain yang masih berada dalam kontrak pasukan.
“FAM mengambil langkah selamat untuk memberikan pampasan latihan kepada KFA
berbanding keperluan untuk membuktikan wujudnya tapping up terhadap pemain
kerana tindakan itu sukar untuk dibuktikan,” kata Zhafri.
SUMBER=KOSMO ONLINE 1.1.2-19
No comments:
Post a Comment