MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
PENYERANG negara, Safawi Rasid tetap bermotivasi dan tidak terganggu dengan kritikan segelintir penyokong apabila ada yang sanggup mencipta imej grafik menunjukkan seolah-olah bola rembatannya ketika menentang Thailand pada separuh akhir pertama di Bukit Jalil, Sabtu lalu, sudah sampai ke Planet Pluto.
Katanya, dia menerima kritikan itu dengan hati terbuka dan berjanji akan mempamerkan aksi lebih kemas apabila skuad Harimau Malaya turun buat kali kedua berdepan Thailand di Stadium Rajamangala, Rabu ini.
"Bagi saya benda itu (kritikan) tak ada masalah dan saya juga tidak kecewa. Bagi saya, itu motivasi untuk tingkatkan permainan lepas ini terutama dari segi penyudah," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Safawi yang dinobatkan Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, bulan lalu, sekurang-kurangnya memiliki tiga peluang keemasan untuk mencetak namanya selaku penjaring pada aksi separuh akhir namun kesemua percubaanya melambung tinggi melewati palang gol.
Jelasnya, dia sudah mencuba yang terbaik dalam perlawanan itu namun rezeki belum memihak kepadanya yang berazam untuk meledak di Bangkok sekiranya diturunkan Tan Cheng Hoe.
"Saya sebelum ini sudah banyak buat latihan tambahan dengan menekankan aspek rembatan dan sepakan percuma. Mungkin rezeki belum ada lagi.
"Mungkin juga rezeki saya hadir pada 5 haribulan nanti (menentang Thailand). Mungkin dapat jaringkan gol dan masuk final," katanya.
Skuad Harimau Malaya hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri 1-1 untuk melangkah ke final dengan peraturan gol di tempat lawan bakal membawa kelebihan kepada Malaysia sekali gus mengulangi pencapaian dalam kejohanan sama empat tahun lalu.
Untuk rekod, skuad kebangsaan pernah menjulang trofi berkenaan pada 2010 dengan Cheng Hoe menjadi penolong Datuk K Rajagobal yang berjaya mencipta sejarah memenanginya buat pertama kali sejak kejohanan ini dipertandingkan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 5:48 PM
No comments:
Post a Comment