ARKIB : 08/12/2009
NAMA sebenar Ummu Khalid ialah
Amah binti Khalid. Bapanya bernama Khalid bin Said al-Ash merupakan seorang
sahabat Nabi Muhammad. Ibunya bernama Umaimah binti Khalaf al-Khuzaiyah. Dia
mempunyai saudara kandung bernama Said bin Khalid.
Ummu Khalid berkahwin dengan
seorang lelaki bernama Az-Zubair bin al-Awwam. Hasil perkahwinan itu mereka
telah mendapat dua orang anak iaitu Amru dan Khalid.
Ummu Khalid telah melaporkan
sebanyak tujuh buah hadis dari Nabi Muhammad. Dia juga fasih berbahasa Habsyah
kerana dia lahir dan tinggal bertahun-tahun di Habsyah.
Terjadi satu peristiwa ke atas
Ummu Khalid iaitu semasa dia dan golongan Muhajirin berhijrah dari Habsyah ke
Madinah.
"Segala kelengkapan dan persiapan
ke Madinah sudah disiapkan," kata seorang lelaki Muhajirin yang akan
berangkat ke Madinah.
Orang Islam yang tinggal di
Habsyah sudah tidak sabar-sabar untuk berhijrah ke Madinah. Mereka berangkat
meninggalkan kota Habsyah dengan menggunakan kapal. Sebanyak dua buah kapal
digunakan menuju ke Madinah.
"Terima kasih tuanku kerana
selama patik di Habsyah ini, tuanku telah memberikan layanan yang baik kepada
patik dan orang Islam yang lain," kata seorang wakil Islam Muhajirin.
"Sama-sama. Beta juga
berterima kasih kepada kamu semua. Beta sudah banyak mempelajari ilmu agama
Islam selama kamu semua berada di negeri beta ini," titah Raja Najasyi.
"Hari ini patik dan
rombongan orang Islam yang lain akan meninggalkan Habsyah. Banyak kenangan
terindah yang tidak dapat dilupakan selama kami berada di sini," kata
wakil itu lagi.
Raja Najasyi dan orang Islam
Muhajirin bersalaman. Mereka masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk
mengucapkan selamat tinggal.
"Sebelum beta terlupa,
tolong sampaikan salam saya kepada Nabi Muhammad dengan lafaz
Assalamualaikum," titah Raja Najasyi lagi.
Pada masa itu Ummu Khalid turut
mendengar titah Raja Najasyi lalu dia menjawab, "Insya Allah, patik akan
sampaikan salam tuanku kepada Nabi Muhammad nanti."
Kemudian, Raja Najasyi
melambaikan tangan sambil bertitah lagi, "Apabila ada masa nanti jemput
datang ke Habsyah lagi. Beta sentiasa menerima kedatangan kamu semua."
"Selamat tinggal
tuanku," kata para Muhajirin yang sedang berada di atas kapal mereka.
"Ya, selamat tinggal. Sampai
berjumpa lagi," titah Raja Najasyi.
Lalu berlayar kapal orang Islam
Muhajirin sehingga sampai ke satu tempat. Tempat itu bernama Khaibar. Mereka
berjumpa dengan Nabi Muhammad di Khaibar pada tahun 7 Hijrah.
Sampai sahaja di hadapan Nabi
Muhammad, Ummu Khalid pun berkata, "Raja Najasyi ada menyampaikan salam
buat tuan dengan lafaz Assalamualaikum.
Waalaikum salam, jawab Nabi
Muhammad.
Tentera Islam baru sahaja
menghadapi musuh di medan perang Khaibar. Berita kejayaan tentera Islam di
Khaibar disambut baik oleh orang Islam. Orang Islam Muhajirin turut mendapat
sebahagian dari harta rampasan perang. Selepas itu mereka pulang ke Madinah
bersama-sama dengan Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad sangat menghormati
Ummu Khalid. Pada suatu hari, Nabi Muhammad ingin memberikan hadiah kepada Ummu
Khalid. Ummu Khalid telah dipanggil oleh Nabi Muhammad untuk berjumpanya.
"Hadiah ini untuk
awak," kata Nabi Muhammad kepada Ummu Khalid.
"Terima kasih kerana
memberikan hadiah yang sangat berharga buat saya," jawab Ummu Khalid.
Hadiah itu berupa sejenis kain.
"Awak gunalah kain ini
sehingga usang dan wariskan kepada orang lain," kata Nabi Muhammad lagi.
Nabi Muhammad berkata lagi,
"Semoga awak dipanjangkan umur."
Ummu Khalid sangat gembira lalu
memegang erat hadiah yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Berkat doa Nabi
Muhammad, Allah telah mengurniakan umur yang panjang kepada Ummu Khalid. Dia
dapat hidup sehingga tahun 90 Hijrah. Sepanjang hayatnya dia banyak melakukan
amalan-amalan yang diajar oleh Nabi Muhammad dalam kehidupan sehariannya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5YgVS04yK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment