ARKIB : 14/12/2009
SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI
Sebahagian rakyat Amerika
berpakaian ala tahanan penjara Guantanamao bagi membantah seksaan yang
dilakukan di penjara tersebut. - gambar hiasan
HANYA kerana hendak menganut,
mengamal dan mempertahankan kesucian Islam, pengikut-pengikutnya sehingga hari
ini menjadi mangsa penderitaan musuh-musuh yang membenci agama itu.
Penderitaan yang ditanggung pula
bukan sedikit walaupun badan sedikit pun tidak sakit atau luka akibat diseksa.
Tetapi bayangkan jika kitab
sesuci al-Quran dikoyak-koyakkan dan dicampak ke dalam lubang tandas? Batin
mana yang dapat menanggung penyeksaan mental yang seumpama itu?
Penghinaan terhadap Al Quran itu
seperti yang diceritakan oleh seorang rakyat Sudan, Sami Al Hajj yang menjadi
tahanan selama hampir tujuh tahun di kem tentera laut di Teluk Guantanamo, Cuba
di Persidangan Antarabangsa Menjenayahkan Perang di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tentera-tentera Amerika Syarikat
(AS) di kem itu bagaikan hilang akal dan tidak ada bezanya seperti golongan
kafir Quraisy yang menjadikan tahanan-tahanan Islam di kem itu sebagai musuh
dalam agama dan bukannya penjenayah perang seperti 'didakwa'.
Kerana itu, jika penulis sejarah
Islam terkenal, Hussein Haekal masih hidup, beliau mungkin akan menarik balik
kata-katanya yang tertulis pada muka surat 111 buku Sejarah Hidup Muhammad.
"Period yang telah dilalui
dalam hidup Nabi Muhammad (seksaan-seksaan fizikal dan mental oleh kafir
Quraisy) adalah period yang paling dahsyat yang pernah dialami oleh sejarah
umat manusia" kata Haekal.
Justeru, melihatkan keganasan
kaum musyrikin yang makin hari semakin ganas dan langsung tidak
berperikemanusiaan sedangkan Nabi Muhammad tidak dapat memberikan perlindungan
kepada kaum Muslimin, maka pada suatu hari, baginda mencadangkan kepada kaumnya
itu satu jalan keluar.
"Alangkah baiknya jika
kalian dapat berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) kerana di sana ada seorang raja
yang sangat adil. Tidak seorang pun rakyat yang didalam kekuasaannya pernah
dianiaya oleh pemerintah yang adil itu. Oleh kerana itu, kalian pergilah ke
Habsyah mencari perlindungan sehingga Allah memberikan jalan keluar dari terus
menjadi mangsa seksaan musuh-musuh yang membenci Islam ini," kata baginda
kepada kaum muslimin.
Cadangan baginda itu dapat
diterima oleh pengikut-pengikutnya kerana mereka yakin Rasulullah telah membuat
pertimbangan semasak-masaknya demi jaminan keselamatan mereka umat Islam.
Mereka sanggup meninggalkan Kota
Mekah dengan kumpulan pertama seramai sepuluh orang yang dipimpin oleh Usman
bin Madh'un berlepas secara diam-diam dari pengetahuan kafir Quraisy.
Ini diikuti rombongan kedua yang
dipimpin oleh seorang lagi bapa saudara Nabi, Jaafar bin Abdul Mutalib yang
turut membawa isteri dan keluarga. Ini menjadikan keseluruhannya seramai 83
orang terdiri dari kaum Muslimin yang terpaksa berhijrah ke Habsyah.
Namun pemergian mereka itu akhirnya
sampai ke pengetahuan kafir Quraisy yang menyebabkan mereka segera bertindak
menghalang umat Islam mencari perlindungan di Habsyah.
Mereka mengutuskan Abdullah bin
Abi Rabiah dan Amru Ibnu Ash bin Wail untuk menemui Raja Habsyah bagi
menceritakan keburukan umat Islam dan mereka tidak diterima untuk mendapat
perlindungan di negara itu.
Tidak cukup itu, mereka juga
membawakan pelbagai hadiah yang menarik untuk Raja itu serta para pembesar dan
pemimpin agama Nasrani di sana.
Sesampainya sahaja di Habsyah
wakil dari kafir Quraisy ini terlebih dahulu menyogokkan hadiah-hadiah yang
dibawa itu kepada para pendeta atau pemimpin-pemimpin gereja.
Dengan harapan pendeta itu akan
membantu mereka dengan menyokong di hadapan Raja Habsyah untuk menghalau
kembali pengikut-pengikut Nabi Muhammad itu.
Ketika berada dibawa mengadap
Raja Habsyah itu, mereka berkata: "Hai, Paduka Baginda, sesungguhnya ada
beberapa orang yang melindungkan dirinya di negeri Tuanku. Mereka itu adalah
golongan yang keluar dari agama nenek moyang dan masuk ke dalam agama baru yang
tidak kami ketahui asal usulnya dan agama itu juga lain dari agama Tuanku.
"Agama itu didapati telah
memecah belahkan masyarakat dan persatuan kita. Sehingga kami diutus oleh
bangsa kami untuk meminta tolong pada Tuanku agar membantu kami membawa pulang
semula pelarian-pelarian tersebut," kata wakil-wakil dari kafir Quraisy
itu.
Permohonan dari puak penentang
Islam itu begitu didukung penuh oleh para uskup atau pendeta Nasrani yang turut
hadir di majlis itu.
Namun Raja Habsyah itu mungkin
tidak sebagaimana yang mereka sangka. Ini kerana baginda seorang yang sangat
bijak dan tidak mudah menerima laporan dari satu pihak tanpa dibuktikan dahulu
kebenarannya.
Lantas selepas berpuas hati
mendengar penerangan dari wakil kafir Quraisy itu, baginda memanggil mengadap
seluruh kaum Muslimin yang dituduh melarikan diri dan tidak mematuhi ajaran
menyembah berhala itu.
Baginda bertanya: "Agama
apakah yang kamu pegang sekarang ini? Mengapakah kamu memecah belahkan kaum dan
masyarakat kamu sendiri dengan agama itu?
"Mengapa kamu tidak memilih
sahaja agamaku (Kristian Nasarani) atau terus berpegang kepada agama nenek
moyang kamu, menyembah berhala?"
Lalu Jaafar Abdul Mutalib,
merafakkan sembah dan memohon untuk menjelaskan.
Beliau berkata: "Wahai
Paduka Raja Kaisar, dahulunya waktu kami hidup di zaman jahiliah, kami adalah
sebuah kamu penyembah berhala yang gemar memakan daging-daging bangkai (tidak
disembelih), berbuat pelbagai dosa, memutuskan hubungan antara sesama keluarga
dan jiran tetangga.
"Bahkan kami sering menindas
mereka yang lemah, miskin dan tidak berdaya. Itulah dan banyak lagi kebiasaan
kami yang tidak baik yang dilakukan semasa Jahiliah," kata Jaafar.
Sehinggalah kata Jaafar lagi,
Allah mengutuskan seorang Rasul-Nya yang telah mereka kenal nasab keturunannya,
kejujuran dan sifat amanah yang sangat tinggi dimiliki oleh Rasul ini.
Rasul itu menurut Jaafar telah
mengajak kaum mereka semua untuk menyembah Allah Yang Maha Esa dan tidak
menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain.
"Kami juga diajak meninggalkan
segala perbuatan jahat, makan harta anak yatim dan berkata bohong yang selalu
kami lakukan sebelum ini.
"Selain itu kami diajak
untuk berlaku jujur dan amanah terutama dalam hubungan sesama manusia
sehinggalah ketika berurusan jual beli, selalu berbaik dengan kerabat keluarga
dan jiran tetangga dan dijauhkan dari membunuh sesama sendiri.
"Dari segi ibadah, kami
hanya dikehendaki melakukan ibadat yang paling mudah dan sangat diterima akal
iaitu solat, memberikan zakat, puasa, haji selain dimulakan dengan mengucap dua
kalimah syahadah," ujar Jaafar.
Jaafar menyambung lagi apabila
dilihatnya Raja Habsyah itu begitu menaruh minat segala penerangan itu.
"Kami pun beriman dengan
ajaran Rasul itu dan sejak dari itu kami tidak lagi menyembah selain dari Allah
serta mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang
oleh agama itu.
"Namun kerana memilih agama
yang lebih baik dan sempurna itu, kami dibenci dan dihina oleh kaum kami
sendiri.
"Malah mereka sanggup
menyeksa dan membunuh kami agar kami takut dan kembali kepada kehidupan yang
sesat seperti dahulu," kata Jaafar sayu sehingga menjadikan seluruh
singgahsana terdiam seketika.
Raja Habsyah kemudian dilihat
mengangguk-anggukkan kepala apabila Jaafar berkata, tanpa ada banyak pilihan
yang lain bagi mengelakkan bagi melindungi diri dari terus diseksa oleh kafir
Quraisy menyebabkan mereka ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan dari
kejahatan mereka yang berlaku zalim ke atas umat Islam itu.
"Kami bukan sengaja hendak
menjadi pelarian seperti yang didakwa tetapi kerana jika sudah tidak selamat di
tempat sendiri maka kepada pihak Tuankulah kami memohon perlindungan sehingga
keadaan kembali pulih," kata Jaafar lagi.
Walaupun Raja Habsyah telah puas
mendengar penerangan dari Jaafar namun baginda masih tidak berpuas hati
mengenai suatu perkara.
Ini kerana penerangan Jaafar telah
mengingatkan baginda sesuatu yang seperti pernah diberitahu kepada baginda
sebelum ini.
Dapatkah Jaafar merungkai
persoalan itu dan bagaimana nasib beliau dan pengikut-pengikut lain yang lain.
Adakah mereka akan dihalau pulang semula ke Mekkah dengan dikawal sepenuhnya
oleh wakil-wakil dari kafir Quraisy itu.
Adakah Raja Habsyah tetap akan
termakan dek pelbagai hadiah yang diumpankan kepadanya itu.
Inilah peristiwa Hijrah pertama
umat Islam dan kisah selanjutnya pada minggu hadapan!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Yh0DoYVm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment