ARKIB : 21/12/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBAGAI penganut Kristian, Raja
Habsyah sangat mengetahui dengan mendalam selok belok agamanya itu. (Raja
Habsyah tersebut dipercayai bernama Ashamah al Najashi)
Lalu beliau menguji pengetahuan
mengenai Nabi Isa dari Jaafar Abdul Mutalib yang menjadi wakil rombongan
penduduk Islam Mekah yang mencari perlindungan di negaranya itu.
"Apakah Nabi kamu mengajar
sesuatu (mengenai Isa a.s) dari firman Allah," tanya Raja Habshah kepada
Jaafar.
Tanpa sebarang ragu-ragu Jaafar
pun membacakan beberapa ayat dari permulaan surah al-Maryam.
Raja Habsyah dan para uskup
Gereja Kristian yang ada yang pada mulanya terkejut dengan ayat-ayat yang
dibaca oleh Jaafar tetapi terus leka mendengarkan keindahan ayat-ayat al-Quran
yang dibacakan itu.
Mereka semua akhirnya menjadi
sebak dan terharu malah ada yang menangis tersedu-sedu.
Sebaik selesai Jaafar membacakan
ayat-ayat itu, Raja Habsyah membuat keputusan kepada dua wakil kafir Quraisy
yang ditugaskan membawa pulang rombongan penganut Islam itu.
"Kamu pulanglah ke negeri
asalmu dan beta tidak akan menyerahkan kepada kamu, umat Islam yang sanggup
bersusah payah datang ke Habsyah dan meminta perlindungan daripada beta
ini!," kata Raja Habsyah dengan tegas.
Apabila merasakan misi mereka
mula menampakkan kegagalan, maka Amru al As mencelah dan berkata: "Wahai
paduka baginda, sesungguhnya mereka menuduh Isa (Nabi) dengan
perkataan-perkataan yang tidak baik".
Lalu Raja Habsyah bertanya kepada
Jaafar: "Apakah pendapat kamu mengenai Isa, benarkah dakwaan wakil Quraisy
itu wahai Jaafar"?
Lalu Jaafar pun menjawab:
"Nabi Muhammad SAW mengajarkan kami bahawa Isa adalah hamba Allah yang
diutuskan oleh Allah untuk menyampai risalah-risalah-NYA kepada kaum Nabi Isa.
Baginda diciptakan dengan penuh kekuasaan-NYA lewat kandungan Maryam (Siti
Maryam, ibu Nabi Isa) yang perawan itu".
Mendengarkan keterangan Jaafar
itu, maka Raja Najasyi bangkit sambil menghentak-hentakkan tongkatnya ke atas
lantai dan berkata: "Demi tuhan, apa yang dikatakan oleh mereka adalah
sama dengan apa yang kami percayai, tidak ada yang lebih mahupun kurang
sedikitpun seperti apa yang diajarkan oleh agama kami".
Lalu Raja Habsyah itu mengambil
sebatang dahan kayu dan membuat garisan di atas tanah sambil berkata:
"Demi Tuhan, apa yang kamu kata mengenai Isa bin Maryam tidak lari dari
garisan ini".
Lalu para pembesarnya menarik
nafas dan baginda berkata lagi: "Walaupun kamu menarik nafas, demi
Tuhan!"
Baginda pun memerintahkan
wakil-wakil kafir Quraisy itu supaya pulang sahaja ke Mekah sedangkan kaum
Muslimin yang datang meminta bantuan dari Raja itu dijanjikan perlindungan dan
penghormatan yang besar sebagai tetamu-tetamu Diraja.
Kata baginda kepada rombongan
umat Islam tersebut: "Bertenanglah kamu, kamu adalah shuyum di negeriku.
Shuyum dalam bahasa Habsyah membawa maksud orang yang selamat. Barang siapa
yang menganggu kamu akan dihukum! barang siapa yang menganggu akan dihukum!
barang siapa yang menganggu kamu akan dihukum!
"Sungguh beta tidak akan
senang kalaupun mendapat segunung emas tetapi beta menyakiti salah seorang dari
kamu," titah baginda berulang-ulang kali dengan tegas.
Sambil menujukan titahnya kepada
Amru al As dan Abdullah Abi Rabiah yang menjadi wakil Quraisy itu, baginda
mengarahkan segala hadiah yang dibawa supaya dipulangkan semula.
"Kembalikan hadiah mereka
berdua. Aku tidak memerlukannya. Demi Tuhan, Allah tidak pernah mengambil
rasuah daripadaku ketika Dia mengembalikan kerajaanku, maka apakah aku hendak
mengambil rasuah pada jalan-Nya?
"Allah tidak pernah tunduk
kepada manusia dengan mengangkatku, maka apakah aku hendak tunduk kepada
manusia pada jalan Allah," kata baginda lagi.
Maka wakil-wakil Quraisy itu
akhirnya terpaksa pulang dengan tangan kosong atau dengan lain perkataan misi
mereka gagal. Malah amat malu kerana cubaan untuk mendapatkan perintah
ekstradisi yang pada asalnya dianggap mudah rupa-rupanya ia tidak semudah yang
disangka.
Ummu Salamah (antara yang
mengikuti rombongan ke Habsyah) yang meriwayatkan kisah ini berkata: "Maka
mereka berdua pun keluar dalam keadaan yang moyok dan sugul sambil membawa
pulang segala macam jenis hadiah-hadiah yang mereka bawa sebelum ini.
"Dan kami pun menetap di
Habsyah di sisi Raja Habsyah yang baik hati itu dengan mendapat tempat tinggal
yang baik dan diterima baik oleh para penduduk Habsyah itu sendiri".
Walaupun dalam konteks mencari
perlindungan terhadap keselamatan diri dan agama yang baru dianuti bukannya
hendak mencari kehidupan yang lebih baik malah berhijrah untuk mencari pasangan
hidup.
Namun antara intipati utama
hijrah dalam Islam iaitu dapatkan perlindungan sekalipun yang difahami dalam
konteks hari ini ialah suaka politik.
Disaat pengikut-pengikut awal
yang memeluk Islam menerima pelbagai seksaan yang pedih itu, maka turunlah
surah al-Kahfi sebagai jawapan yang antara lain satu isyarat daripada Allah
kepada hamba-hamba-Nya itu supaya berhijrah.
Maka kisah Ashabul Kahfi
menunjukkan jalan kepada hijrah dari pusat kekufuran dan musuh apabila
dibimbangi keselamatan agama mereka sambil berserah kepada Allah.
Ini sebagai mana firman Allah
yang bermaksud: Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan
dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah maka pergilah kamu berlindung
di gua itu supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan
menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan. (al-Kahfi: 16)
Begitu juga pengajaran daripada
ayat Allah yang turut memberikan gambaran mengenai hijrah dan mengisytiharkan
bahawa bumi Allah ini bukannya sempit: ...Ingatlah mereka yang berbuat di dunia
ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat) dan (ingatlah) bumi Allah
ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya mereka yang
bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.
(al-Zumar: 10)
Walaupun berhijrah dilihat
sebagai satu perpindahan yang menuntut segenap pengorbanan, terdedah kepada
pelbagai risiko di samping memerlukan satu strategi dan perancangan yang baik
namun berhijrah itu adalah jauh lebih baik dari duduk berdiam dari tidak
berbuat apa-apa.
Hatta jika terpaksa meminta
perlindungan dari negara yang diperintah oleh bukan Islam seperti yang
dilakukan oleh pengikut-pengikut awal yang memeluk Islam ini.
Ini kerana hasilnya sama sekali
tidak diduga, bahkan pemimpin bukan Islam juga sanggup menawarkan perlindungan
jika diizinkan Allah.
Malah ia cukup menjadi satu
pukulan kepada pihak yang menindas seperti yang berlaku kepada golongan kafir
Quraisy dalam peristiwa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah.
Yang menganggap dengan nama dan
kuasa yang mereka ada, golongan yang lemah dan tidak sealiran dapat
ditundukkan.
Kini mereka menyedari Nabi
Muhammad yang masih berada di Mekah wajar menjadi sasaran utama. Peluang mesti
diambil sementelah baginda masih lagi berada di kota itu.
Namun mereka tetap menyedari
bahawa penghalang utama untuk mencederakan Nabi SAW adalah bapa saudara
baginda, Abu Talib.
Abu Talib yang merupakan
bangsawan terkemuka dan terhormat Mekah menjadi perisai utama kepada Nabi
Muhammad. Selagi bapa saudara Nabi itu berada di samping anak saudaranya itu,
tiada sesiapa yang berani melakukan apa-apa.
Justeru individu yang perlu
ditundukkan ialah Abu Talib itu sendiri. Tidaklah sehingga ke tahap membunuh
Abu Talib tetapi golongan kafir Quraisy dalam satu misi mereka, secara
beramai-ramai datang menemui Abu Talib.
Bagi menunjukkan betapa besarnya
hajat yang mereka bawa, betapa menggunung tingginya harapan dan betapa Abu
Talib mesti memenuhi semua itu demi bangsa Arab yang kononnya kini diperbodoh-bodohkan
oleh anak saudaranya itu.
Begitu berat tanggungjawab yang
terpaksa dipikul oleh Abu Talib sebagai bapa saudara Nabi Muhammad.
Namun beliau menyedari anak
saudaranya sama sekali tidak bertujuan untuk memberi susah dalam hidupnya.
Oleh kerana beliau yang membela
dan membesarkan Nabi SAW sedari kecil, beliau amat kenal dan masak akan anak
saudaranya itu. Yang beliau dapati bahawa baginda seorang yang sangat jujur dan
sangat dipercayai.
Jadi bagaimanakah Abu Talib dapat
menahan anak saudaranya itu sedangkan beliau mengetahui apa yang dilakukan oleh
Nabi SAW adalah perkara yang benar?
Namun, apabila sudah berhadapan
dengan sekumpulan manusia yang sebegitu ramai dan berhimpun di hadapannya
dengan wajah yang begitu mengharap, Abu Talib menjadi gugup!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YhgbchXk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment