Ad

Friday, 4 September 2020

Isu kenegerian tak gugat Norizam

MyMetroArena

Presiden KAFA Datuk Shaari Mat Husin (tengah) menyaksikan timbalan presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah (kiri) dan  Norizam Tukiman (kanan) bertukar dokumen pada Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC. FOTO BERNAMA

Oleh Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.myKuala Lumpur: Isu kenegerian yang ditimbulkan segelintir pihak langsung tidak mematahkan semangat pemilik baharu Kelantan FC, Norizam Tukiman yang berazam untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu.

Pakar pelaburan dan usahawan hotel serta burger itu, adalah anak jati kelahiran Senai, Johor namun dikritik oleh sesetengah pihak kerana tindakannya membantu pasukan negeri lain berbanding menyumbang pembangunan di tempat lahirnya.

Jelas Norizam, era bola sepak moden dan profesional masa kini tidak menghalang mana-mana pihak untuk memiliki sebuah pasukan meskipun di luar negara.

Katanya, pemilik kelab Inggeris, Cardiff City dan kelab Belgium, KV Kortrijk yang berasal dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan adalah contoh terbaik di mana taikun perniagaan terkenal itu sanggup melabur berjuta ringgit di Eropah.

"Tak ada isulah. Vincent beli Cardiff City tak ada orang marah pun. Kalau yang main dekat JDT pun boleh ada pemain Kelantan, apa salahnya. Saya cuma harap pemain dan peminat boleh terima saya sebagai pemilik," katanya.

Menurutnya, tindakan membeli pasukan Kelantan bukanlah dibuat dalam keadaan terburu-buru tetapi melalui proses kajian teliti dan hasilnya mendapati skuad The Red Warriors (TRW) mempunyai sokongan penonton nombor satu di negara ini.


"Ini bukan satu tindakan terburu-buru, saya dah buat kajian dan Kelantan adalah pasukan yang paling unik di Malaysia kerana mempunyai sokongan nombor satu di Malaysia, nombor dua adalah Kedah dan ketiga adalah JDT," katanya.


Kelmarin, Norizam melengkapkan pengambilalihan TRW apabila membeli saham bernilai RM3 juta, sekali gus menjadi pemegang saham terbesar pasukan.


Beliau juga akan menyumbang wang pendahuluan sebanyak RM3.8 juta bagi menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain termasuk membabitkan kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) serta tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).


Selain menyelesaikan pembelian dan isu gaji serta lesen, Norizam juga menyasarkan untuk menjadikan pasukan Kelantan FC bernilai RM500 juta hingga RM1 bilion dan berstatus tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh 10 tahun.


"Ini salah satu perkara positif yang kita dapat lihat dalam penswastaan pasukan bola sepak. Saya berharap pasukan bola sepak Kelantan akan menjadi lebih baik dengan penswastaan TRW," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 7:00 AM

No comments:

Post a Comment