Ad

Friday, 4 September 2020

Kelantan United tumbang di Kota Bharu

Oleh YATIMIN ABDULLAH

4 September 2020, 11:14 p

KOTA BHARU: Kelebihan beraksi di laman sendiri gagal dimanfaatkan Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) apabila tumpas 0-2 kepada Kuala Lumpur dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam ini.

Turun dengan misi melakar kemenangan, KUFC terlebih dahulu menguji pertahanan pelawat dengan melakukan serangan awal namun gagal menepati sasaran.

Kuala Lumpur bangkit dengan aksi lebih kemas untuk menguasai perlawanan dan hampir menerobos gawang tuan rumah menerusi sepakan percuma pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-30, namun sekadar menggegar palang.

Empat minit berselang, giliran tuan rumah memperoleh peluang menjaringkan gol pertama, namun tandukan Gasamma Alfusainey sedikit tersasar.Dominasi Kuala Lumpur berterusan selepas itu menerusi beberapa gerakan menarik namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

Bersambung babak kedua, Indra Putra sekali lagi mencuri tumpuan apabila hampir memecah kebuntuan gol, namun rembatan kencangnya dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gawang KUFC, Mohd. Shahrizan Ismail.

Kuala Lumpur akhirnya meleraikan kebuntuan apabila kapten, Paulo Josue tenang menyudahkan hantaran rakan sepasukan untuk gol pertama The Hawk pada minit ke-63.

Menuju minit akhir perlawanan Josue terus mempamer ketajaman penyudah dengan meledak jaringan kedua menerusi sepakan percuma cantik untuk menewaskan Mohd. Shahrizan di pintu gol KUFC.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan KUFC kempunan meraih tiga mata.SUMBER-SUKAN UM ONLINE

No comments:

Post a Comment