MyMetroArena
Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my
NEGERI Sembilan berhadapan tugas berat dalam misi untuk memperbaiki dan mendapatkan kedudukan terbaik dalam kelompok teratas carta Liga Perdana, susulan tewas kepada Pulau Pinang, 0-2, Jumaat lalu.
Ketua jurulatih skuad itu, Sazali Saidun berkata, kekalahan kepada Pulau Pinang menjejaskan kedudukan skuad bimbingannya selepas sebelum itu berjaya menewaskan Terengganu FC II (TFC II).
"Hasrat kita untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga tetapi tidak kesampaian dan kini satu tugas berat selepas kita tewas kepada Pulau Pinang.
"Kita sepatutnya mampu merekodkan keputusan seri, tetapi disebabkan beberapa kesilapan mudah, ia memberi kesan kepada cabaran seterusnya.
"Apapun benda dah berlaku dan kita kena terima hakikat bahawa pasukan perlu tingkatkan lagi prestasi serta bekerja keras mengatasi segala kelemahan, jika ingin bangkit pada perlawanan akan datang," katanya.
Sazali menuntut dua penyerang import pasukan itu dari Brazil iaitu Jose Almir Neto dan Igor Luiz supaya dapat memainkan peranan lebih agresif di barisan hadapan bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan.
Menurutnya, kedua-dua pemain berkenaan belum dapat menjaringkan gol dalam dua perlawanan setakat ini, tatkala kemenangan amat penting buat skuad Hobin Jang Hobin, untuk mengelak berada dalam kelompok terbawah carta liga.
Susulan kekalahan kepada skuad Harimau Kumbang itu, Negeri Sembilan turun satu anak tangga di tempat kelapan liga dan mengutip enam mata.
Negeri Sembilan bakal menanti kunjungan Selangor II dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Sabtu ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 7:18 PM
No comments:
Post a Comment