MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KESILAPAN mudah penjaga gol Pahang, Mohd Sharbinee Allawee menyaksikan skuad Tok Gajah berputih mata apabila tewas 1-0 ke atas UiTM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, sebentar tadi.
Sharbinee yang juga bekas penjaga gol kebangsaan gagal membaca hantaran jauh pemain tuan rumah yang akhirnya menyaksikan dia gagal mengeluarkan bola dengan Muhammad Rafie Mat Yaakob mudah menolak masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-62.
Kekalahan itu pastinya menambah tekanan di kem Pahang yang sebelum ini turut tumbang 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, di Kuantan, minggu lalu.
Sebaliknya, tuan rumah tus cemerlang mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menundukkan Felda United 1-0 di Jengka, Pahang sebelum ini.
Aksi seimbang diperagakan kedua-dua pasukan namun tuan rumah yang dibimbing Frank Bernhardt dilihat cukup berbahaya terutama menerusi serangan balas ke kubu pelawat.
Peluang terbaik anak buah Dollah Salleh hadir pada minit-23 hasil tandukan tonggak pertahanan tengah, Muslim Ahmad yang menyambut sepakan percuma Faizal Halim namun sedikit tersasar.
Aksi lebih agresif ditampilkan pada babak kedua dengan skuad The Lion Troops nyaris memecahkan kebuntuan namun tolakan Mark Andrew Hartmann melambung ketika pintu gol sudah pun ternganga luas.
Minit ke-50, hantaran lintang Muhammad Gopi Rizqi gagal disempurnakan S Kumaahran untuk terus mengecewakan Dollah di bangku simpanan.
Memasuki 10 minit terakhir, aksi kedua-dua pasukan bertukar panas dan berlaku sedikit pergelutan yang menyaksikan tonggak tengah Pahang, Adam Michael Tull dilayangkan kad kuning.
Walaupun pelawat cuba mengasak bertali arus memburu gol penyamaan, namun keputusan 1-0 kekal memihak tuan rumah.
SUMBER=Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2020 @ 11:05 PM
No comments:
Post a Comment