Ad

Monday, 7 September 2020

Tak pernah setuju tamat kontrak awal

MyMetroArena

FORKEY Doe mahu heret PBNP ke Fifa.

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

"APA yang dikatakan PBNP (Persatuan Bolasepak Pahang) tak betul. Kami tetap akan heret ke Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan semua bukti kami dah sediakan".

Demikian jawapan peguam, Zhafri Aminurashid yang akan membela bekas pemain import Pahang, Francis Forkey Doe berhubung tuntutan tunggakan gaji dengan nilai keseluruhan berjumlah RM746,500.

Jelas Zhafri, Forkey Doe tidak pernah bersetuju menamatkan kontrak awal bersama PBNP seperti mana dinyatakan pengurus Pahang, Datuk Mohammed Sufian.

Malah katanya, penyerang kelahiran Liberia itu turut tidak pernah mengisi borang C-06 yang juga borang penamatan kontrak pemain untuk keluar dari pasukan.

"Saya ingin tegaskan, Forkey Doe tidak menyatakan persetujuan atau mengisi mana-mana borang khususnya borang C-06 untuk meninggalkan pasukan Pahang.

"Kami mempunyai semua bukti yang akan diserahkan kepada Fifa bagi menuntut hak Forkey Doe selepas gajinya tidak dibayar seperti terdapat dalam kontraknya."Malah, saya dah semak dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) borang C-06 tidak pernah diberikan oleh PBNP. Sepatutnya sebagai badan induk, FAM perlu menyimpan salinan borang itu sebagai menandakan pemain setuju menamatkan kontrak.

"Saya enggan ulas lanjut cuma apa yang saya boleh katakan, kami akan tetap bawa ke Fifa meskipun cuba dinafikan PBNP. Biarlah Fifa yang putuskan," katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, ini bukan kes pertama bakal dihadapi PBNP apabila pada musim 2015 mereka pernah dipotong enam mata dalam saingan Liga Malaysia selepas diarahkan oleh Fifa ekoran kegagalan membayar pampasan kontrak bekas pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji membabitkan RM537,435.

Kontrak Borji ditamatkan pada 2013 berikutan aksi buruknya dalam saingan liga, namun pemain itu membuat aduan kepada Fifa selepas tidak mendapat wang pampasan.Fifa kemudiannya mengancam PBNP untuk diturunkan 'pangkat' beraksi di Liga Perdana seandainya masih gagal melunaskan tunggakan itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa siri perbincangan, Pahang akhirnya terselamat selepas FAM mendahulukan pembayaran RM537,435 selain melangsaikan denda RM73,997 kepada Fifa.

Secara keseluruhan FAM membayar RM611,432 bagi pihak PBNP dengan badan induk bola sepak tempatan itu menuntut semula bayaran daripada jumlah insentif yang diberikan kepada Pahang untuk saingan Liga M 2016.


Sementara itu, pengurus Pahang, Datuk Mohammed Sufian Awang menegaskan tuntutan Forkey Doe tidak berasas kerana kedua-dua pihak setuju menamatkan kontrak pada 2018.


''Patut tak bangkit isu ini. Dua-dua pihak dah setuju tapi kenapa sekarang tiba-tiba perkara ini


dibangkitkan,'' katanya.


SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 10:18 PM

No comments:

Post a Comment