MyMetroMutakhir
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my
“PADA mulanya saya sangka ada kayu yang tersangkut pada jaring yang saya tahan kerana semalam hujan lebat dan banyak kayu hanyut dari hulu sungai.
“Namun, apabila saya tarik, ‘kayu’ kelihatan bergerak-gerak dan saya mengagak ia adalah ‘benda’ hidup, mungkin biawak atau ikan besar, tak sangka ia ikan tapah,” kata nelayan, Farouk Omar, 40.
Katanya, dia bersama adiknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk melayan ikan itu yang terlalu agresif supaya ia letih.
“Apabila perilaku ikan itu mula lemah, saya kemudiannya menarik jaring dan terkejut melihat kepala ikan ‘bermisai’ muncul dari air.
“Ini adalah kali pertama saya berjaya menaikkan ikan tapah gergasi seberat kira-kira 35 kilogram (kg) sejak 10 tahun menjadi nelayan sungai secara sambilan,” katanya yang berasal dari kampung Pedah di Jerantut.
Farouk berkata, dia menggunakan kaedah ‘menghanyut’, iaitu merentang jaring di tengah Sungai Pahang berhampiran kampungnya.
“Apabila ada ikan yang melanggar dan tersangkut pada jaring, ia akan tenggelam timbul dan saya akan segera mendayung ke kawasan itu untuk mengangkat jaring.
“Biasanya saya hanya mendapat pelbagai spesis ikan yang mempunyai berat sekitar satu hingga tiga kilogram sahaja, tetapi tadi jaring yang diangkat terasa sangat berat, saya memang jangkakan ia sesuatu yang besar,” katanya.
Farouk berkata, ikan sepanjang hampir 1.5 meter itu dijual pada harga RM60 sekilogram kepada penggemarnya ikan sungai sekitar Jerantut Feri.
Katanya, wang hasil jualan ikan itu akan disimpan untuk dijadikan modal bagi membina sangkar ikan bagi menternak ikan air tawar.
“Saya berhasrat untuk menternak ikan air tawar, namun tidak cukup modal dan perlu menyimpan wang sedikit demi sedikit,” katanya.
Selain tapah, Farouk turut memperoleh ikan patin buah seberat tiga kilogram serta beberapa ikan sungai yang lain.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 12:59 AM
No comments:
Post a Comment