MyMetroArena
Izzali Ismail
am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar tekad membantu skuad Hijau Kuning melangkah lebih jauh dalam saingan Piala AFC 2021 yang dijadual diadakan secara karnival pada awal Jun depan.
Walaupun sedar saingan sengit bakal menanti mereka, pemain berusia 32 tahun itu tetap yakin skuad pimpinannya mampu berdepan semua pencabar mereka.
Aksi Zon Asean dijadual bermula pada 22 hingga 28 Jun dengan saingan diadakan mengikut format 'round robin'. Ia menyaksikan KDA FC bakal berentap bersama tiga lagi pasukan dalam Kumpulan H.
Pasukan berkenaan adalah wakil Singapura, Lion City Sailors FC, Saigon FC dari Vietnam dan satu lagi pasukan yang akan ditentukan menerusi aksi play-off sama ada dari Indonesia, Timor Leste atau Kemboja.
"Saya melihat KDA FC berada dalam kumpulan yang agak sengit sebab diundi bersama kelab Lion City dan Saigon. Kita tahu dua pasukan itu adalah kuat dan bertaraf naib juara liga kebangsaan masing-masing.
"Walaupun sekarang ini kita tahu dunia masih dihimpit dengan masalah pandemik Covid-19, saya dan rakan seperjuangan tetap fokus menjalani latihan.
"Saya sendiri bertekad akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu pasukan dalam saingan Piala AFC musim ini.
"Apa yang paling penting, kami kena anggap tahun ini sebagai satu cabaran sukar. Seperti dimaklumkan AFC, kejohanan tahun ini akan berlangsung secara karnival di venue berpusat, dengan tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari.
"Sudah tentu keadaan ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental," katanya dalam kenyataan menerusi laman media rasmi KDA FC.
Baddrol yang bergelar legenda Kedah dan merangkul Anugerah Pemain Terbaik Sedekad 2011 hingga 2020 berkata selain semangat tinggi, sokongan dan doa daripada seluruh penyokong Kedah juga diharapkan untuk mencapai kejayaan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 10:03 PM
No comments:
Post a Comment