Ad

Sunday 17 January 2021

Ragini tidak sabar lonjak Kelantan FC

 SUKAN



ZAMSAHAM (kiri) menyambut ketibaan Ragini yang melaporkan diri buat pertama kali di Kota Bharu, Kelantan malam kelmarin. – FACEBOOK TRW KELANTAN FC

Ragini tidak sabar lonjak Kelantan FC

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

16 Januari 2021, 3:00 pm

PENANTIAN pasukan Kelantan FC untuk mendapatkan ‘DNA’ Itali akhirnya tercapai selepas ketua jurulatih baharu, Marco Ragini melaporkan diri buat pertama kali di Kota Bharu malam kelmarin.

Perkara tersebut disahkan oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang menyambut kehadiran Ragini bersama barisan kejurulatihan termasuk pembantu jurulatih dari Sepanyol, jurulatih kecergasan (Sepanyol) dan jurulatih penjaga gol (Itali).

Kata Norizam yang lebih mesra dengan gelaran Zamsaham, Ragini mahu perbincangan segera dilakukan bersama barisan kejurulatihan dan pegawai The Red Warriors meskipun baru sahaja tiba ke bumi Kelantan.

Alhamdulillah, semua barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Marco Ragini sudah sampai di Kelantan. Pemain import sahaja yang belum sampai lagi.

Kami terus melakukan perbincangan walaupun saya mengarahkan mereka berehat. Ragini berkata, dia terbang sejauh 12,000 kilometer bukan untuk bercuti.

Ragini sangat bersungguh untuk mencapai misi dan visi Kelantan FC,” kata Zamsaham dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Sebagai rekod, Ragini yang berusia 54 tahun memiliki Lesen Kejurulatihan Pro yang diiktiraf oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan memiliki pengalaman selaku pelatih kejurulatihan bersama Persatuan Bola Sepak Itali.

Malah, Ragini juga pernah bergelar ketua jurulatih ketika membimbing pasukan Dainava di Lithuania, FC Locarno (Switzerland), Dolny Kubin (Slovakia), Ujana (Congo), Garden City (Nigeria) dan FC Ulaanbaatar (Mongolia).SUMBER-KOSMO ONLINE

No comments:

Post a Comment