Ad

Saturday, 30 January 2021

Impak besar menanti industri bola sepak

Oleh Zulfaizan Mansor - Januari 30, 2021 @ 12:25pm

zulfaizan@bh.com.my



Logo Liga M3.

KUALA LUMPUR: Lambakan pemain dan peningkatan pengangguran membabitkan individu dalam arena bola sepak boleh tercetus sekiranya Liga M3 sekali lagi dibatalkan musim ini.

Walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenai perjalanan Liga M3, beberapa pihak terutama pasukan bertanding dan pemain dilihat tidak tidur lena kerana bimbang saingan berstatus amatur itu menerima nasib sama seperti musim lalu selepas ia dibatalkan sepenuhnya.

Pemain pertahanan Kuala Lumpur Rovers, Arman Fareez Mohd Ali mengakui kesan besar bakal dialami pemain Liga M3 termasuk hilang mata pencarian sekiranya pertandingan itu dibatalkan buat kali kedua.

Dia yang kini menceburi kerjaya sebagai perunding takaful menyifatkan lambakan pemain dalam kancah liga tempatan akan bertambah terutama selepas pasukan UKM FC dan FELDA United tidak akan bertanding.

"Bagi saya kalau Liga M3 dibatalkan, ia akan bagi kesan besar terutama kepada pemain yang tiada pasukan tahun ini. Kita sedia maklum UKM dan FELDA United sudah tutup jadi berlaku lambakan pemain terlampau ramai.

"Ia termasuk pemain dari Piala Presiden dan Piala Belia yang tidak mendapat tempat dalam skuad utama (Liga Malaysia). Ke mana haluan mereka selepas itu?

"Pasukan pula kurang, dengan Liga Super ada 12 pasukan, Liga Perdana 11 tapi empat daripada itu pasukan feeder dan satu pasukan Projek FAM-MSN. Bagi saya memang beri kesan kepada pemain yang tiada pasukan tahun ini.

"Kebanyakan pemain bola ini, pendapatan utama mereka hasil bermain bola sepak. Jika lakukan kerja lain boleh, tetapi ambil masa, selain itu banyak pasukan sudah melakukan persediaan untuk bertanding," katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan pengurus pasukan Armed Forces FC, Mohd Noorazam Abd Razak menganggap bukan pilihan yang tepat sekiranya Liga M3 sekali lagi dibatalkan oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Sementara itu, pemain Northern Lions FC, Anas Shaharom amat mengharapkan Liga M3 tidak menjadi 'mangsa' buat kali kedua bagi mengelak sumber pendapatan pemain terjejas.

"Memang sukar dan perit itu sudah dilalui sebelum ini, namun sehingga kini masih ada rakan pemain yang bergelut melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian dan kos sara hidup," katanya.SUMBER-SUKAN BH ONLINE

No comments:

Post a Comment