MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir dan Azman Adnan berharap semua pihak terutama pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bijak mengawal emosi demi membangunkan bola sepak tanah air.
Kedua-dua bekas pemain itu menekankan dalam dunia sukan perlu ada semangat kesukanan dan bukannya berbalah, menuding jari.
"Hakikatnya apa yang penting ialah prestasi pasukan serta pemain dan apa yang saya lihat, itu juga ada peningkatan terutama dalam kemenangan pasukan negara ketika perlawanan Pra Piala Dunia sebelum pandemik Covid-19 melanda. Jadi apa isu dia (Zamsaham)?" kata Jamal.
Katanya, paling utama, kejayaan pasukan kebangsaan bergantung kepada keupayaan dan prestasi pemain yang dihasilkan oleh kelab.
"Jadi beliau dan pemilik kelab di Malaysia ini seharusnya memikirkan cara menghasilkan pemain yang baik untuk disumbang kepada negara.
"Saya sarankan beliau harus kawal emosi, jangan meluahkan segala rasa di media sosial kerana apabila kita menuding jari pada seseorang, empat lagi menuding ke arah kita," katanya.
Jamal berkata, ketika ini ranking skuad kebangsaan sedang meningkat semula, tidak menurun malah berada dalam momentum yang baik.
Beliau mengulas kenyataan Norizam yang terkejut dengan ranking skuad Harimau Malaya di kedudukan ke-153 dunia.
Dalam luahan menerusi akaun Facebook miliknya baru-baru ini, Norizam berkata dengan pembangunan stadium serta pelbagai akademi bola sepak, sepatutnya ranking Malaysia semakin naik dan bukan semakin menurun.
Sementara itu, Azman antara tonggak Harimau Malaya yang membawa skuad kebangsaan dalam ranking terbaik iaitu 75 pada 1993, menekankan semua pihak jangan dibayangi sejarah dan sebaiknya menumpukan pada masa depan.
Katanya, setiap pasukan bola sepak tempatan mahupun pasukan M3 sebaiknya menjaga prestasi dan pasukan masing-masing kerana ia membabitkan prestasi pemain yang bakal menyarungkan jersi negara.
"Jangan mengaitkan atau mengheret perkara lain terutama perihal skuad kebangsaan dalam pertikaian membabitkan persatuan dengan mana-mana pihak mahupun badan induk.
"Anda perlu buktikan kejuaraan pasukan atau kelab dahulu, hasilkan pemain yang baik buat Malaysia, sila jaga periuk sendiri dan tak perlu jaga dua periuk.
"Apa yang penting sejak dua ke tiga tahun ini, dalam tempoh singkat ranking Harimau Malaya sedang naik semula dari 178 ke 153 bagi saya cukup memuaskan dan berkat kerjasama semua pasti ia akan meningkat lagi," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 12:47 AM
No comments:
Post a Comment