MyMetroArena
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menembus kehampaan itu apabila mara ke final Toyota Terbuka Thailand selepas menewaskan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Beregu lelaki negara itu mempamerkan aksi penuh bertenaga apabila menang ke atas Rankireddy-Shetty 21-18, 21-18 dalam tempoh 35 minit.
Mereka berjaya menebus kekecewaan minggu lalu selepas tewas seawal pusingan pertama kepada beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk bertemu pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Di atas kertas kelebihan mungkin berpihak kepada Aaron-Wooi Yik apabila tidak perlu berhempas pulas menewaskan lawan ketika Lee Yang-Chi Lin terpaksa bergelut hingga ke set penentuan sebelum menewaskan gandingan berpengalaman Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 14-21, 22-20, 21-12.
Bagi Aaron, dia mengakui kemenangan di separuh akhir bukan mudah dan perlu memberi tumpuan terutama kepada tiga pukulan pertama bagi mengelakkan lawan meraih mata.
"Fokus utama kami adalah untuk pastikan lawan tidak mendapat mata. Yang penting adalah tiga pukulan awal itu sebab serangan lawan tidak mudah untuk di atasi.
"Untuk itu kami perlu lakukan pukulan yang sukar untuk mereka melakukan serangan. Jadi kami kena pastikan tiada bola lambung untuk buka ruang kepada mereka membuat serangan dan mendapat mata," katanya.
Di tanya mengenai strategi yang akan digunakan apabila turun menentang pasangan Taiwan di perlawanan akhir, Aaron berkata, mereka akan berusaha untuk memberi yang terbaik kerana misi utama adalah untuk muncul juara.
"Untuk esok (hari ini) kami akan berikan yang terbaik. Sebelum ini kami pernah kalah kepada mereka tapi kali ini kami akan cuba menebus kekalahan itu semula.
"Kami akan berusaha sehabis baik untuk dapatkan kejuaraan," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 6:15 PM
No comments:
Post a Comment