MyMetroArena
Syazwan Msar
Kuala Lumpur: Walaupun sudah diberikan 'lampu hijau' untuk menjalani kem latihan pusat secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu terburu-buru memanggil pemain.
Hal ini kerana Cheng Hoe mahu mengenal pasti latihan bersesuaian kepada pemain terlebih dahulu memandangkan waktu yang ada ketika ini semakin singkat menjelang sambungan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Mac ini.
Malah, beliau juga khuatir tidak semua pemain dapat turun menjalani latihan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan sekali gus membataskan pergerakan mereka untuk ke (MSN).
"Saya tidak boleh kata kita akan menjalani latihan secepat mungkin atau memanggil pemain segera kerana banyak perkara perlu dilihat terutama membabitkan corak latihan berikutan masa yang ada ketika ini agak singkat.
"Ada beberapa perkara yang akan diteliti sebelum mulakan latihan dan pastikan semua pemain dapat menjalani latihan tanpa sebarang masalah.
"Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang cukup prihatin terhadap skuad kebangsaan seterusnya memberi kebenaran menjalani latihan di MSN," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Baru-baru ini, skuad Harimau Malaya diberikan kebenaran untuk menjalani kem latihan pusat secara kuarantin di MSN Jalil dalam masa terdekat. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dipersetujui hasil perbincangan dengan MSN dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
"Selepas berbincang dengan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), saya lihat mereka boleh gunakan premis MSN sebagai pusat latihan. 'MSN mempunyai fasiliti yang memudahkan untuk dilakukan operasi berasaskan 'quarantine based' berbanding tempat lain.
"Presiden FAM pun dan bincang dengan KP (Ketua Pengarah) MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) dan secara prinsipnya ia pendekatan yang akan digunakan," katanya.
Venue latihan di MSN yang akan digunakan sebagai persiapan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dijangka boleh menempatkan sehingga 30 hingga 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain.Untuk rekod, kem latihan pusat Harimau Malaya sepatutnya bermula Sabtu lalu, namun terpaksa dibatalkan selepas Selangor tersenarai antara negeri di bawah PKP yang bermula 13 Januari lalu.
-SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 9:49 PM
No comments:
Post a Comment