MyMetroArena
BERNAMA
Petaling Jaya: Komitmen dan sumbangan pemain naturalisasi dan pemain berdarah kacukan dalam peningkatan prestasi pasukan bola sepak negara di pentas antarabangsa, menepati jangkaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, badan induk bola sepak negara itu berpuas hati dengan kesungguhan mereka, serta impak positif yang dibawa ke dalam skuad kebangsaan yang kini berada di landasan terbaik melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Beliau berkata, sebagai contoh pemain naturalisasi pertama negara Mohamadou Sumareh, menggalas tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan kepadanya dengan baik, sejak membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya, pada Oktober 2018.
"Setakat ini kita (FAM) berpuas hati, untuk pemain naturalisasi kita baru ada Sumareh seorang dalam pasukan, memang kita nampak komitmen beliau amat tinggi untuk pasukan negara dan kita harap pemain naturalisasi selepas ini pun ada semangat yang sama," katanya.
Sumareh memiliki rekod baik dalam 19 penampilan bersama skuad kebangsaan setakat ini dan berjaya meledak enam gol, dengan tiga daripadanya dijaringkan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata FAM memuji semangat kewarganegaraan ditampilkan pemain berdarah kacukan, antaranya pemain kacukan Malaysia-Australia Brendan Gan, La'Vere Corbin Ong (Malaysia-Barbados) dan Matthew Davies (Malaysia-Australia).
Jelasnya, semangat itu dibuktikan apabila Brendan dilihat menangis kegembiraan selepas pasukan negara berjaya merakam kemenangan dramatik ke atas musuh tradisi Indonesia, dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
"Jadi maknanya beliau betul-betul menjiwai semangat Malaysia itu, saya lihat pemain seperti Corbin-Ong dan Matt (Davies) menunjukkan minat yang kuat untuk pasukan negara, walaupun belum diberi peluang menyarung jersi negara.
Datuk Mohd Yusoff Mahadi. FOTO File NSTP
"Setakat ini tidak nampak pemain berstatus naturalisasi atau warisan (berdarah kacukan) ini, bermain untuk pasukan negara sambil lewa ataupun tidak menunjukkan semangat kewarganegaraan yang tinggi," tambah beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM.
Skuad kebangsaan dijangka bakal menerima sentuhan seorang lagi pemain naturalisasi menjelang dua aksi getir Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, pada Mac.
SUMBER=Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 6:40 PM
No comments:
Post a Comment