Safawi enggan dabik dada
MyMetroUtama
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bintang bola sepak negara, Safawi Rasid menganggap pencalonannya dalam Anugerah Pemain Terbaik Asia Fox Sports Asia bagi musim 2020 adalah hasil penat lelah semua pihak terutama dalam skuad kebangsaan dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Itu antara perkara yang ditekankan bekas pemain kelab Portugal, Portimonense SC apabila namanya sekali lagi menerima pencalonan untuk anugerah di peringkat antarabangsa.
Safawi yang tidak meletakkan harapan tinggi pada anugerah itu menganggap ia juga sebagai pengiktirafan kepada pemain tempatan yang semakin meningkat sekali gus membuka mata pihak luar terhadap keupayaan mereka.
"Saya tidak mahu mendabik dada namun ini sebenarnya adalah cabaran untuk saya terus mengekalkan momentum dan persembahan meyakinkan pada masa akan datang.
"Banyak lagi perkara perlu belajar terutama mempertingkatkan lagi kemahiran supaya dapat membantu JDT dan Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Pemain yang berasal dari Dungun, Terengganu itu terus membuktikan dirinya antara pemain terbaik di benua ini apabila dia tersenarai dalam 24 calon untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Asia Fox Sports Asia bagi musim 2020
Malah, lebih mengujakan apabila pemenang anugerah Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 Virtual itu bakal bersaing dengan beberapa pemain ternama.
Pemain sayap itu bakal berentap dengan tonggak Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung Min yang dilabel pilihan utama untuk menggondol gelaran itu.
Selain itu, Safawi juga bakal dicabar bekas pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, Andres Iniesta yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Vissel Kobe.
Bintang lain yang turut tersenarai adalah Wataru Endo (Stuttgart), Takehiro Tomiyasu (Bologna), Matthew Ryan (Brighton), Hwang Hee Chan (RB Salzburg dan RB Leipzig) dan Takefusa Kubo (Real Mallorca dan Villareal).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 7:30 AM
No comments:
Post a Comment