Oleh Zulfaizan Mansor - Januari 29, 2021 @ 8:34pm
zulfaizan@bh.com.my
Pemain Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radza. - Foto NSTP/Aziah Azmee.
KUALA LUMPUR: Pemain Liga Malaysia (Liga M) menganggap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan pertandingan Piala FA musim ini sebagai relevan susulan pandemik COVID-19 yang masih pada tahap membimbangkan.
Penyerang Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha Abd Radzak memahami jadual padat yang akan ditempuhi oleh semua pasukan sekiranya piala berkenaan masih tetap diteruskan ketika tempoh saingan Liga M musim ini semakin singkat.
Katanya, pemain memerlukan tempoh masa yang mencukupi untuk berehat selepas sesuatu perlawanan dan jadual padat akan mengundang kepada risiko kecederaan, sekali gus memberi kesan buruk kepada pasukan.
"Secara peribadi, saya rasa sebenarnya ramai yang tidak tahu mengenai bagaimana jadual liga itu dibuat. Tetapi kami sebagai pemain tahu faktor-faktor tertentu kenapa jadual dibuat sebegitu.
"Sebelum COVID-19 melanda, memang kita boleh harungi semua perlawanan baik Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran di mana kita boleh ada ruang dan masa untuk memastikan semua itu berjalan seperti dirancang.
"Tetapi dalam situasi pandemik sekarang, kita tahu agak mustahil nak menempuh semua saingan dalam satu masa singkat sebab boleh merisikokan pemain kepada kecederaan apabila jadual terlalu padat," katanya.
Situasi semasa COVID-19 yang masih mencatat kes harian empat angka menyaksikan MFL terpaksa menunda sepak mula Liga M ke 5 Mac berbanding perancangan asal 26 Februari.
Sementara itu, pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuck turut berharap agar permohonan yang akan dikemukakan MFL kepada pihak kerajaan untuk memastikan pasukan dapat melakukan latihan penuh sebelum sepak mula diluluskan memandangkan mereka ketika ini hanya melakukan latihan di rumah sahaja.
"Sekiranya keadaan terkawal dan selamat, saya harap kita semua dapat kembali untuk berlatih di padang sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sepak mula sepertimana yang akan dimohon oleh MFL.
"Penangguhan Liga M daripada 26 Februari ke 5 Mac juga bukanlah jurang masa yang lama sangat, dan saya rasa kita semua memang tengah bersemangat untuk mempersiapkan diri.
"Apa-apa pun, kita sudah menempuh situasi sama seperti tahun lalu yang memerlukan kita berlatih di rumah. Jadi apa pun keputusan, kita kena sentiasa bersedia dan tetap menjaga tahap kecergasan dengan baik," katanya.SUMBER-BH ONLINE
No comments:
Post a Comment