Ad

Saturday, 30 January 2021

Cheng Hoe puas hati prestasi Nathaniel Shio

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bintang baharu Harimau Malaya, Nathaniel Shio Hong Wan lulus penilaian pertama yang dilakukan pengendali negara, Tan Cheng Hoe selepas berpuas hati dengan prestasi pemain kelab England, Wolverhampton Wanderers itu.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, kebolehan tonggak kacukan Malaysia-China itu yang beraksi di bahagian tengah berjaya menarik perhatian Cheng Hoe untuk di bawa ke dalam skuad kebangsaan.

Katanya, FAM sudah menghubungi pemain berusia 20 tahun itu dan secara tidak rasmi Nathaniel menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi negara.

"Emaknya orang Malaysia, jadi saya juga dimaklumkan jurulatih Tan Cheng Hoe sudah menilai pemain ini dan nampaknya boleh kata, jurulatih tertarik dengan pemain ini.

"Jadi lepas dari itu, baru kita mengadakan komunikasi dengan pemain ini dan akhirnya saya dimaklumkan, sehari dua ini pemain itu menyatakan kesanggupan mewakili Malaysia.

"Dan kita akan buat langkah-langkah susulan lain untuk mengesahkan statusnya sebagai pemain kacukan negara. Urusan untuk itu mudah sikit kerana dia ada darah kacukan Malaysia, berbeza dengan proses naturalisasi," katanya kepada Arena Metro.

Jika semuanya berjalan lancar, Nathaniel bakal mengikut jejak beberapa pemain kacukan lain yang sudah mewakili Malaysia seperti Brendan Gan, Natxo Insa, Matthew Davies, Corbin Ong dan ramai lagi.

Yusoff yang juga Pengurus pasukan kebangsaan menambah, pihaknya sedang berusaha untuk membawa pulang Nathaniel bagi mendapatkan kerakyatan negara ini.

"Memang kita dah berhubung dengan pemain ini dan dia pun pada asasya sudah menyatakan persetujuan untuk mewakili Malaysia sekiranya dipilih Cheng Hoe.

"Jadi peringkat ini kita nak buat ia secara rasmi sekarang dan harap-harap ia berjaya untuk menjadikannya seorang lagi pemain kacukan bagi pasukan negara," katanya.

Sebelum ini, kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan sudah berjaya mendapatkan persetujuan mengikat pemain kacukan yang lahir di London itu.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, segala perancangan terbabit hanya akan berlaku jika permohonan kerakyatan Malaysia berjaya dan aksiNathaniel hanya boleh disaksikan selepas Jun ini apabila kontraknya dengan Wolverhampton Wanderers berakhir.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 12:25 AM

No comments:

Post a Comment