Ad

Monday, 3 December 2018

Azizulhasni gegar dunia lagi

ARKIB : 05/10/2009
Saya puas dan gembira kerana berjaya membalas dendam ke atas Bauge apatah lagi dalam keadaan saya sedang belajar ketika ini - AZIZULHASNI AWANG Pelumba basikal

KUALA LUMPUR - Pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang menggegar persada basikal trek antarabangsa dengan menjuarai acara pecut pada satu kejohanan undangan yang disertai jaguh-jaguh dunia di Colombia, kelmarin.

Lebih manis kejayaan di Gran Caracol de Pista Medellin (Grand Prix Medellin) itu dicipta dengan menewaskan pelumba Perancis yang juga juara dunia, Gregory Bauge pada perlumbaan akhir.

Bauge adalah pelumba yang menewaskan Azizulhasni pada perlumbaan akhir acara sama dalam Kejohanan Trek Dunia dekat Pruzskow, Poland, Mac lalu.

"Saya puas dan gembira kerana berjaya membalas dendam ke atas Bauge apatah lagi dalam keadaan saya sedang belajar ketika ini.

"Malah, berbaloi rasanya saya datang bertanding terutama selepas melalui perjalanan selama 31 jam dan transit selama 26 jam sebelum dapat sampai di sini," katanya.

Terdahulu pada pusingan kelayakan bagi menentukan undian saringan, Azizulhasni turut cemerlang apabila muncul pelumba paling pantas dengan mencatat masa 10.352 saat.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengatasi pelumba Belanda, Teun Mulder (10.393s) yang kedua terpantas diikuti Bauge (10.445s) ketiga.

Ini membolehkan Azizulhasni bertemu pelumba di kedudukan tercorot, Juan Sivira dari Venezuela pada pusingan pertama dan menang mudah.

Sepanjang laluannya ke akhir, Azizulhasni turut menewaskan beberapa pelumba lain sebelum menempah pertemuan dengan Bauge.

"Ia satu pencapaian yang melegakan saya terutama menjelang pusingan pertama Piala Dunia Klasik di Manchester, England dari 30 Oktober-1 November ini," tegas Azizulhasni yang bimbang tentang status pelumba-pelajarnya.

Selain Manchester, Azizulhasni akan turut bertanding pada Piala Dunia II di Melbourne, Australia (19-21 November ini), Piala Dunia III di Cali, Colombia (10-12 Disember) dan Piala Dunia IV di Beijing, China (22-24 Januari 2010).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5YaBprjFa
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment