MyMetroArena
Daripada Aziman Rosdi di Bangkok dan Thailand
aziman@nstp.com.my
JURULATIH kebangsaan Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya supaya bijak menghidu peluang untuk menghukum Thailand dalam aksi penuh getir separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional Rajamangala malam esok.
Pengendali berusia 50 tahun itu berkata, jika mereka boleh mengekalkan momentum, kesungguhan dan semangat juang seperti dipamerkan pada perlawanan pertama, beliau yakin dapat meleburkan rekod buruk di Bangkok sekali gus mara ke final.
“Kita tahu Thailand mempunyai jentera serangan yang bahaya, mereka sudah menjaringkan 14 gol di laman sendiri dalam kempen Piala AFF kali ini. Saya mahu pemain bersedia dari segi fizikal dan mental untuk beraksi di tempat lawan.
“Saya yakin kita boleh menyekat mereka daripada menjaringkan gol dalam tempoh 90 minit permainan dan perlu bersabar menunggu peluang terbaik untuk menghukum mereka,” katanya dalam sidang media pra perlawanan semalam.
Pada aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu, skuad Harimau Malaya beraksi baik dengan melancarkan asakan bertali arus ke kubu Thailand namun akur dengan keputusan seri 0-0.
Ia tugas mencabar buat Malaysia yang memiliki rekod buruk tidak pernah menang di Bangkok sejak 2004 dan gagal menghasilkan sebarang gol dalam lima pertemuan terakhir.
Namun sedikit melegakan buat Cheng Hoe apabila pemain sayap Mohamadou Sumareh kemungkinan dapat diturunkan meskipun pertahanan Syazwan Andik dan Aidil Zafuan Abd Radzak masih bergelut untuk pulih.
“Sumareh kembali pulih (kecederaan hamstring), Syazwan pula kami perlu menilai tahap kecederaannya, mungkin mereka boleh bermain dalam perlawanan esok,” katanya.
Tambahnya, apa yang perlu dilakukan pemain negara adalah sentiasa berwaspada dengan pergerakan penyerang Thailand Adisak Kraisorn dan Sanrawat Dechmitr yang cukup berbahaya.
“Selepas perlawanan pertama, kita melihat pemain berjersi nombor 9 (Adisak) dan 29 (Sanrawat) sangat bahaya. Tapi Thailand pasukan yang seimbang jadi kita kena beri perhatian kepada semua pemain,” jelas Cheng Hoe.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 5:57 PM
No comments:
Post a Comment