Ad

Monday, 3 December 2018

Mat Yat mahu lepas geram


AKHYAR RASHID (tengah) beraksi selama 90 minit ketika Malaysia
AKHYAR RASHID (tengah) beraksi selama 90 minit ketika Malaysia menentang Vietnam dalam perlawanan bola sepak Piala AFF peringkat Kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, bulan lalu. AFP
Fadhilul Izmel Ishak

sukan.utusan@gmail.com

04 Disember 2018 3:00 AM

SEPANG 3 Dis. - Bintang remaja sedang meningkat, Akhyar Rashid berharap dapat diturun­kan sebagai pengganti Mohamadou Sumareh kerana dia tidak sabar untuk melepaskan geram apabila menentang Thailand dalam separuh akhir kedua ­Piala AFF, Rabu ini.

Pemenang anugerah Penye­rang Terbaik Kebangsaan 2018 itu mengakui ‘geram’ kerana hanya mampu melihat rakan-rakannya beraksi selepas memanaskan bangku simpanan ketika Harimau Malaya seri 0-0 dengan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Ja­lil, Sabtu lalu.


Akhyar, 19, yang lebih mesra disapa Mat Yat oleh penyokong Kedah turun sepanjang 90 minit permainan ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Vietnam dalam perlawanan Kumpulan A di Hanoi, 16 November lalu.

Status Sumareh kini 50-50 selepas mengalami kecederaan hamstring dalam separuh akhir pertama.

“Kalau ikutkan memang ge­ram (hanya dapat tengok rakan beraksi) Sabtu lalu tetapi sebagai pemain kami kena mengikut taktikal jurulatih kerana dia tahu apa yang terbaik untuk pasukan.

“Harap dalam aksi timbal balik nanti saya dapat diturunkan menggantikan Sumareh (jika dia tidak beraksi) dan mahu membuktikan kemampuan kepada jurulatih.

“Walaupun bermain di depan penyokong lawan, saya akan gunakan pengalaman yang ada untuk menghadapi Thailand,” katanya sebelum berlepas ke Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Dalam kempen peringkat kumpulan Akhyar masuk menggantikan Syazwan Zainon pada minit ke-46 ketika menewaskan Laos 3-1 sebelum bermain 90 minit menentang Vietnam yang berkesudahan tewas 0-2.

Dia yang dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dibawa masuk menggantikan Sumareh pada minit ke-79 ketika menumpaskan Myanmar 3-0.

Meskipun jarang beraksi dalam kesebelasan utama, namun Akhyar adalah senjata rahsia Harimau Malaya kerana kelincahannya mampu mengucar-kacirkan kubu lawan.

Dalam pada itu, Akhyar berkata selepas melihat corak permainan Thailand dari luar padang dia dapat mengenal pasti taktikal dan kekuatan lawan.

“Sewaktu berada di luar padang saya melihat Thailand akan melakukan serangan balas jika kita buat silap.

“Tidak mustahil kita boleh mencari kemena­ngan. Apa yang penting kita perlu buat yang terbaik,” katanya lagi.
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/mat-yat-mahu-lepas-geram-1.798719#ixzz5YfGw45SS
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment