Ad

Tuesday, 6 August 2019

Duit tak ada, kualiti pula kurang

 PERLAWANAN Piala Malaysia di antara JDT dan UiTM FC di Stadium
PERLAWANAN Piala Malaysia di antara JDT dan UiTM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Jumaat lalu gagal nenarik kehadiran penonton yang ramai. - BERNAMA
Fadhilul Izmel Ishak

06 Ogos 2019 6:00 AM
KUALA LUMPUR - Sudahlah berdepan kekangan kewangan, kualiti Liga Malaysia (Liga M) pula kurang menarik - dua faktor utama yang membawa kepada kemerosotan jumlah penonton ke stadium.

Bekas pertahanan Harimau Malaya yang membawa Malaysia la­yak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir Ismail percaya, ekonomi negara yang kurang memberangsangkan menyebabkan peminat lebih selektif kerana tidak mampu membeli tiket untuk semua perlawanan.

Katanya, harga tiket jelas membebankan penyokong, terutama mereka yang datang bersama keluarga.


“Dengan keadaan ekonomi yang teruk, penonton pasti lebih selektif. Kalau satu keluarga ada empat ahli, sudah berapa harga tiket di situ? Itu belum masuk duit makan minum. Lebih baik mereka berjimat.

“Betul, memang situasi ini tidak sihat sebab kantung pasukan juga akan berkurangan tetapi orang berniaga ketika ini pun teruk.

“Yang datang ke stadium sekarang mungkin penyokong setia. Saya percaya, apabila Piala Malaysia memasuki peringkat suku akhir kehadiran penyokong akan bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jamal yang memiliki 165 cap bersama skuad kebangsaan tidak menolak mutu permainan yang dipamer kebanyakan pasukan turut menjadi penyumbang kepada kemerosotan penyokong di stadium.

Sementara itu, legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar berkata, kualiti permainan kurang menarik antara yang mendorong peminat ‘menjauhi’ perlawanan.

Dali yang beraksi bersama kelab Australia, Perth Glory dari 1975 hingga 1977 menegaskan, pasukan Liga M perlu meningkatkan kualiti permainan jika mahu lebih ‘disayangi’ penyokong.

“Kalau penyokong tak nak pergi stadium, mana boleh paksa. Orang dah benci. Orang dah jemu. Pemain kita tidak setaraf. Saya sedih tengok bola sepak tempatan.

“Terus-terang saya katakan, saya sendiri sudah tidak peduli dengan bola sepak Malaysia,” katanya.

Kempen awal Piala Malaysia 2019 yang membuka tirai, Jumaat lalu menyaksikan kemerosotan ketara penonton ke stadium, termasuk melibatkan dua pasukan terbaik negara ketika ini - Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.

Biarpun masih segar menjuarai Liga Super buat musim keenam berturut-turut, namun hanya 5,860 penonton hadir ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat lalu ketika JDT mengalahkan UiTM FC 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.

Situasi lebih buruk berlaku di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu apabila ha­nya 4,200 peminat menonton pertemuan di antara naib juara liga, Pahang dan Pulau Pinang. – SUMBER UTUSAN 06 Ogos 2019 6:00 AM

No comments:

Post a Comment