Mohd. Redzuan Yusof
Badrul Isa
19 Ogos 2019 12:00 PM
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Menteri
dan timbalan menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahupun pemimpin politik
perlu ‘disekolahkan’ kembali bagi memastikan mereka lebih memahami Perlembagaan
Persekutuan, sejarah Malaysia dan bagaimana negara ini diwujudkan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
(MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohd. Redzuan Md.
Yusof berkata, terdapat menteri serta pemimpin politik dilihat gagal memahami
Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum serta rakyatnya perlu menghormati
dan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan.
Tambah beliau, kurikulum
pendidikan di sekolah vernakular yang menjurus kepada pemerkasaan Perlembagaan
dari sudut menjunjung penggunaan bahasa kebangsaan jangan dipolitikkan dengan
tekanan puak berkepentingan kaum dan menidakkan tujuan untuk bangsa Malaysia
bersatu padu.
“Seperti dalam isu Jawi, tidak
sepatutnya dipolitikkan kerana sudah terkandung dalam Perlembagaan menerusi
Dasar Bahasa Kebangsaan. Kebanyakan pemimpin politik ini tidak memahaminya,
jadi mereka mesti ‘disekolahkan’ dan diajar semula supaya boleh membimbing
pengikut mereka tentang apa itu Malaysia.
“Kena ada satu cara untuk
mendidik mereka ini semua, mungkin perlu ada program ala Biro Tata Negara (BTN)
tapi kali ini melibatkan semua kaum agar dapat memahami Perlembagaan
Persekutuan dan bagaimana negara ini diwujudkan,” katanya kepada Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan itu
dengan nada lebih tegas berkata, mana-mana menteri yang mempolitikkan isu membabitkan
Perlembagaan Persekutuan sepatutnya meletakkan jawatan.
“Mereka telah mengkhianati ikrar
mereka sendiri serta sumpah apabila memegang jawatan menteri di hadapan Yang
di-Pertuan Agong, ini merupakan satu pengkhianatan.
“Hari-hari disebut tentang
bangsa Malaysia tetapi kita sendiri tidak tahu bangsa Malaysia itu bagaimana,
adakah bangsa Melayu, Cina, India ataupun pelbagai kaum? Sekarang ini adakah
kita mahu tunggu Perlembagaan itu dibubarkan untuk kita membentuk semula negara
Malaysia?,” katanya.
Tambahnya, semua pihak perlu
kembali kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah dipersetujui dan sekiranya
polemik tidak memahami perlembagaan itu tidak dibendung, negara boleh menuju
tahap membimbangkan dan lebih buruk boleh musnah.
“Adakah puak-puak ini tidak mahu
menjunjung Perlembagaan Persekutuan kerana mahu memusnahkan budaya Malaysia itu
sendiri? Kita sudah nampak hari ini, pergi hotel mana pergi bahasa Melayu,
separuh hotel gagal, pusat beli-belah gagal mempamerkan dalam bahasa Melayu,
itu yang sepatutnya dijunjung dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 19
Ogos 2019 12:00 PM
No comments:
Post a Comment